Hannah hormat keputusan Norza letak jawatan Presiden BAM selepas Olimpik

Iklan
Hannah Yeoh (kanan) menyempurnakan gimik perasmian Festival Hospis Kanak-kanak Malaysia di Pusat Kreatif Kanak-kanak Tengku Bainun hari ini. Foto Bernama

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menghormati keputusan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau percaya keputusan itu dibuat Mohamad Norza bagi menunaikan hasratnya, kerana sebelum ini dia pernah menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan.

Iklan
Iklan

"Tan Sri Norza sebelum ini ada buat keputusan untuk meletak jawatan, dan saya rayu supaya dia menimbang semula keputusan itu memandangkan Olimpik Paris sudah semakin hampir, saya percaya keputusan untuk meletak jawatan selepas Sukan Olimpik adalah sebagai menunaikan hasratnya sebelum ini, dan kita perlu hormati keputusan itu.

"Saya pasti Tan Sri Norza sudah membuat persediaan sewajarnya bagi memastikan walaupun dia tidak lagi bersama BAM, semuanya akan berjalan lancar, dan tidak memberi kesan kepada atlet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysian Children Hospice Festival di Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun di sini hari ini.

Iklan

Semalam Mohamad Norza berkata, beliau akan meletakkan jawatan sebagai presiden BAM pada mesyuarat majlis seterusnya yang dijadualkan pada 24 Ogos, hanya dua minggu selepas Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Mohamad Norza berkata, Timbalan Presiden I BAM, Datuk V Subramaniam akan berkhidmat sebagai pemangku presiden sehingga perhimpunan agung tahunan (AGM) akhir penggal semasa pada April hingga Jun, tahun depan bagi memilih pemegang jawatan baharu.

Iklan

Sementara itu, Hannah turut menyampaikan ucapan tahniah kepada pemain profesional Lee Zii Jia atas persembahannya yang mengagumkan dan mengucapkan selamat maju jaya pada perlawanan terakhirnya di Masters Malaysia hari ini.

Beliau berkata Majlis Sukan Negara (MSN) komited untuk membantu Zii Jia dan atlet lain yang layak dalam persediaan menghadapi Olimpik akan datang walaupun mereka tidak berada dalam program Road To Gold.

"NSC komited untuk membantu dalam beberapa cara yang akan saya umumkan nanti untuk persiapan ke Olimpik kerana mereka mewakili Malaysia. Itu yang kita mahu setiap atlet sama ada mereka disokong oleh MSN atau bebas asalkan mereka layak dan membawa bendera Malaysia.

"Kita berhasrat mencari jalan untuk membantu mereka, sama ada melalui perkhidmatan Institut Sukan Negara (ISN) atau menerusi bantuan kewangan bagi menyokong mereka,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!