Malaysia kedua terbaik Asia

Iklan
Pemain negara meraikan kejayaan muncul naib juara Piala Asia 2024.

IMPIAN skuad hoki dalam dewan lelaki negara untuk mempertahankan kejuaraan Piala Asia tidak kesampaian apabila dijinakkan Iran, 1-7 dalam perlawanan akhir edisi Taldykorgan 2024 di Kazakhstan pada Sabtu.

Perlawanan akhir itu menyaksikan gol tunggal pasukan negara dijelmakan Muhammad Firdaus Omar menerusi jaringan padang minit ke-30.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, Iran memulakan pesta gol dengan jaringan Amirmahdi Mirzakhani (m-2, m-34), Payam Lashgari (m-4, m-23), Hamid Nooranian (m-6, m-36) dan Sajjad Mamizadeh (m-10).

Sementara itu, pengendali skuad negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi menyifatkan anak buahnya tewas kepada pasukan terbaik dunia.

Iklan
Aksi Malaysia menentang Iran dalam perlawanan akhir Piala Asia edisi Taldykorgan 2024 di Kazakhstan pada Sabtu.

Dan mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki pasukan negara yang akan membuat penampilan di Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025,di Croatia.

"Semangat juang yang tinggi, disiplin yang cukup baik merupakan perkara yang cukup positif dapat dilihat di dalam pasukan. Walaupun kami tidak dapat mengekalkan kejuaraan namun melangkah ke Piala Dunia buat kali pertama merupakan sesuatu yang cukup bermakna untuk pasukan. Syabas dan tahniah buat setiap pemain atas usaha mereka,” katanya.

Iklan

Pada masa sama Mohd Rodzhanizam berterima kasih kepada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan tersebut.

Tambahnya, pasukan juga berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan, Shurizan Mansor yang sentiasa menaikkan semangat pasukan serta mencurahkan idea kepada pemain serta pasukan.

"Kami juga ingin berterima kasih kepada Penolong Jurulatih, Mohd Hanip Che Halim, yang telah membantu mempersiapkan pasukan dengan cukup baik serta Jurulatih Penjaga Gol, Saiful Azhar Mohd Afendi yang telah mempersiapkan penjaga gol untuk memberikan aksi terbaik.

"Tidak lupa juga kepada Arif Aziz, Pegawai Institut Sukan Negara (ISN) yang menjalankan tugas dengan cukup baik dalam memberikan sokongan dari segi analisa video kepada pasukan dan akhir sekali tidak dilupakan kepada penyokong yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan kepada pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rodzhanizam berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) akan memberikan fokus lebih kepada hoki dalam dewan kerana percaya bantuan secukupnya akan membolehkan pasukan melakukan persiapan rapi pada tahap terbaik bagi menghadapi Piala Dunia 2025 selain dalam pembangunan sukan itu sendiri.

"Sekali lagi, terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam persiapan skuad hoki dalam dewan negara lelaki dan wanita ke Piala Asia 2024,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!