Olimpik: Muhammad Azeem, Shereen calon 'wildcard' - KOM

Iklan
Shereen dan Muhammad Azeem

HANYA dua pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy berada dalam senarai Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk diberikan satu slot wildcard bagi mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan KOM, Robert Ballard berkata, jawatankuasa pemilihan KOM perlu menyerahkan nama seorang daripada mereka kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 8 Julai depan sekiranya kedua-dua atlet itu tidak dapat melayakkan diri secara merit.

Iklan
Iklan

"MOM mesti menyerahkan nama (atlet) dengan jurulatih atau pegawai yang mengiringi (kepada Majlis Olimpik Antarabangsa)... tetapi kita harapkan kedua-dua atlet ini melayakkan diri (secara merit), dan jika mereka layak secara merit maka tiada keputusan yang perlu dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Mini Stadium Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Iklan

Namun Ballard mengakui Shereen bakal menempuh jalan berliku apabila perlu memecahkan rekod 400 meter (m) yang dipegangnya menerusi beberapa kejohanan yang akan disertainya dengan terdekat di Nashville, Amerika Syarikat pada minggu depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kehadiran dua bekas atlet dari Cuba, Jorge Luis Alfaro (lompat tinggi) dan Yunaika Crawford Roger (tukul besi) yang berada di Malaysia kira-kira enam minggu ini akan membantu menerusi perkongsian kepakaran mereka kepada sukan olahraga di Malaysia.

Iklan

Ballard memaklumkan Jorge Luis yang pernah membimbing jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei dan bekas pemenang gangsa Olimpik 2004, Yunaika akan mengemudi bengkel kemahiran yang disertai kira-kira 100 jurulatih di Stadium Ranau, Sabah pada 6 hingga 8 Jun ini.

"Mereka juga menyatakan minat untuk memohon (sebagai jurulatih tetap), jadi sudah semestinya saya meminta mereka untuk berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu Presiden Olahraga Sabah Mohamat Hassan menghargai usaha semua pihak berkepentingan untuk membawa bengkel berkenaan ke Sabah bagi melahirkan lebih ramai jurulatih berkaliber dari peringkat akar umbi hingga antarabangsa. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!