Pemilik dikesan jadikan bas sekolah sebagai bas persiaran

Iklan
Mazshida (kanan) ketika operasi bersepadu bas persiaran yang dijalankan di daerah Kuala Terengganu pada Sabtu.

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Pihak berkuasa berjaya mengesan kegiatan seorang pemilik bas sekolah melanggar syarat dan kelas permit dengan menjadikan kenderaan itu sebagai bas persiaran.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Mazshida Ruslal berkata, kesalahan itu dikesan dilakukan dalam operasi bersepadu dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dua notis dikeluarkan dibawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 iaitu beroperasi tanpa kelas lesen.

Selain itu, katanya, tindakan turut diambil di bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 di mana sebanyak tiga notis telah dikeluarkan terhadap pemilik dan ketua rombongan bas sekolah berkenaan.

Iklan

"Mereka disyaki telah mengatur serta mengendalikan rombongan lawatan ke lokasi tumpuan pelancongan tanpa lesen agensi pelancongan yang sah.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM250,000 sementara bagi pendakwaan di mahkamah pula boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui selepas operasi bersepadu di sini.

Mazshida

Iklan

Hadir sama, Ketua Unit Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Terengganu, Mohd Hisham W Mohamad dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri (JPN) Terengganu, Mohamad Shazdarween Mustafa.

Dalam perkembangan sama, Mazshida berkata, sebanyak 35 pemeriksaan telah dijalankan melibatkan sembilan lokasi di negeri ini.

Katanya, pemeriksaan itu melibatkan 22 buah bas persiaran, tiga bas catar, empat bas sekolah, sebuah bas ekspres, empat van putih dan sebuah premis perniagaan.

"Kita mengesan kesalahan dilakukan dibawah Seksyen 20 Akta Industri Pelancongan (AIP) 1992 iaitu menggunakan kenderaan yang tidak dilesenkan sebagai bas persiaran

"Selain itu, turut dikesan ialah kesalahan dibawah Seksyen 5(2) AIP 1995 iaitu mengatur dan mengendalikan rombongan pelancongan tanpa lesen agensi pelancongan yang sah," ujarnya.

Mazshida memberitahu, dalam operasi bersepadu tersebut anggota penguat kuasa JPN turut menjalankan 61 pemeriksaan melibatkan dokumen pengenalan diri.

Katanya, setakat ini belum ada kesalahan yang dikesan dan dikenakan tindakan dibawah jabatan berkenaan.

Operasi bersepadu yang tertumpu di kawasan tumpuan pelancong itu disertai seramai 46 anggota terdiri daripada jabatan dan agensi luar Terengganu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!