Mara ke separuh akhir, kondisi Zii Jia cetus teka-teki

Iklan
Aksi Zii Jia ketika menentang Antonsen dalam aksi suku akhir Malaysia Masters di Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama.

SITUASI pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang meninggalkan gelanggang Malaysia Masters 2024 dalam keadaan terhincut-hincut selepas menumpaskan Anders Antonsen untuk mara ke separuh akhir menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Menerusi sokongan padu ribuan peminat melonjakkan semangat pemain di ranking ke-10 dunia itu memperagakan aksi bertenaga untuk menewaskan pilihan kedua kejohanan dari Denmark itu sehingga ke set penentuan 21-15, 19-21, 21-11.

Iklan
Iklan

Sejurus tamat permainan, Zii Jia terus mendapatkan rawatan dengan pasukan perubatan, serta tidak menemui media untuk ditemu bual.

Kakak merangkap pengurus Zii Jia, Lee Zii Yii memberitahu, insiden itu mungkin berpunca daripada keletihan yang dialami adiknya selepas mengharungi Terbuka Thailand minggu lalu dan aksi sengit di ketika ini.

Iklan

Beliau berkata, keletihan itu mula terpancar pada set kedua perlawanan sehingga memaksa mereka meminta bantuan daripada pasukan perubatan.

"Dia berasa keletihan terutama selepas berdepan aksi sengit sejak semalam (pusingan kedua) Ketika berdepan Kiran George dari India.

Iklan

"Dia mengalami kekejangan seluruh badan hendak duduk pun kejang, berdiri pun kejang dan duduk juga kejang. Mungkin dia akan menjalani rawatan mandi ais di Institut Sukan Negara (ISN).

"Dia tidak bercakap apa-apa (mengenai tahap keadaannya). Hanya duduk termenung tidak berbuat apa-apa. Dia memang letih dan perlu menyejukkan badan. Kita akan hantarnya ke ISN untuk pemulihan," katanya.

Zii Jia akan mengulangi aksi final Terbuka Thailand apabila bertemu lawan sama seperti minggu lalu iaitu Ng Ka Long.

Pemain Hong Kong itu melakar kejutan selepas mengetepikan pilihan ketiga dari China, Li Shi Feng 21-13, 21-15 untuk berdepan Zii Jia buat kali kesembilan.

Dalam pada itu, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah turut mengembirakan kem badminton negara apabila turut mara ke saingan separuh akhir pada Sabtu.

Gandingan negara itu mengalahkan pasangan Australia, Setyana Mapasa-Angela Yu 21-16, 21-8 dalam masa 31 minit perlawanan.

Pilihan kedua kejohanan itu akan berdepan cabaran Lee Yu-lim-Shin Seung-chan dari Korea Selatan yang mara ke separuh akhir selepas menewaskan wakil China, Keng Shu Liang-Zhang-Chi 21-17, 21-14.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!