Mahkamah arah lelaki pukul ibu jalani pemeriksaan psikiatri

Iklan
Mohamad Helmi yang didakwa mencederakan ibu kandung sendiri diarahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di HBUK.

KUALA KANGSAR - Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat memerintahkan seorang penganggur yang didakwa atas pertuduhan mencederakan ibu kandungnya, Selasa lalu untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Rohaida Ishak membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan berikutan tertuduh, Mohamad Helmi Hamzah, 29, tidak memahami pertuduhan berkenaan.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Muhammad Firdaus memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) bagi mendapatkan laporan terhadap status mentalnya berikutan lelaki itu mempunyai rekod rawatan psikiatri.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Jun depan bagi sebutan semula kes.

Iklan

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Helmi didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap ibu kandungnya berusia 54 tahun dengan menggunakan spanar plug yang mana alat itu jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin menyebabkan kematian.

Mohamad Helmi dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan mencederakan ibu kandungnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bongor, Gerik sekitar jam 6.30 pagi, 21 Mei lalu.

Iklan

Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 236 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Media melaporkan polis menahan seorang lelaki dipercayai memukul ibu dan adik kandungnya sehingga cedera menggunakan pisau dan sepana dalam kejadian di Kampung Bongor, Gerik.

Suspek bertindak memukul ibunya berusia 54 tahun bertubi-tubi di bahagian muka dan atas badan ketika wanita itu sedang mendirikan solat.

Kejadian itu turut disaksikan oleh adik lelakinya berusia 15 tahun namun, dia turut cedera apabila dipukul menggunakan sepana dan pisau pemotong getah.

Punca kejadian itu kerana suspek dikatakan telah berhalusinasi hingga bertindak mencederakan mangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!