Polis cekup tiga lelaki curi kabel

Iklan
Antara barang yang dirampas. - Foto IPD Kulai

KULAI - Polis menahan tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan kes curi kabel dan komponen telekomunikasi dalam dua serbuan di lokasi berbeza sekitar kawasan Bukit Batu, Air Bemban di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis KIA berserta anak kunci, tiga telefon bimbit serta pelbagai komponen yang dipercayai dicuri di pencawang telekomunikasi.

Iklan
Iklan

"Semakan awal mendapati dua daripada suspek mempunyai dua rekod berkaitan jenayah serta lapan rekod penyalahgunaan dadah.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenderaan yang dirampas dalam serbuan berkenaan. Foto IPD Kulai

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Ketiga-tiga lelaki berusia antara 32 hingga 43 tahun itu direman selama empat hari mulai Khamis hingga Ahad ini," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, tangkapan yang dibuat dipercayai telah dapat menyelesaikan lebih daripada enam kes curi kabel di pencawang telekomunikasi sekitar daerah Kulai.

Antara peralatan yang dirampas dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel dan komponen di pencawang telekomunikasi. Foto IPD Kulai

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat penglibatan kesemua suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan di luar daerah Kulai.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian menjual atau memberi barang curi boleh menghubungi terus talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di talian 07-6632222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!