Jangan biarkan anak jadi pemangsa seksual

Iklan
Kes seksual dalam kalangan kanak-kanak yang dilakukan oleh keluarga sendiri dilaporkan semakin membimbangkan di negara ini apabila menunjukkan peningkatan ketara sejak empat tahun lalu. - Gambar hiasan 123RF

Apalah daya seorang anak kecil, tubuh yang seharusnya dilindungi dan disayangi itu adakala diambil kesempatan bagi memuaskan nafsu serakah. Lebih keji kerana perbuatan tersebut dilakukan oleh insan yang sepatutnya menjadi pelindung mereka.

Bukan sekadar omong kosong. Buktinya, kes seksual dalam kalangan kanak-kanak yang dilakukan oleh keluarga sendiri dilaporkan semakin membimbangkan di negara ini apabila menunjukkan peningkatan ketara sejak empat tahun lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mendedahkan, statistik pihaknya menunjukkan sebanyak 2,722 kes direkodkan sejak 2020.

Kes tersebut termasuklah jenayah rogol, sumbang mahram, cabul, gangguan seksual, seks luar tabii, pornografi, komunikasi secara seksual, amang seksual fizikal dan bukan fizikal.

Iklan

Pendedahan kes seperti itu menunjukkan sisi gelap menakutkan dalam institusi keluarga. Justeru, bagaimanakah kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat ditangani dan apakah bentuk pencegahan yang boleh diterapkan.

Dalam hal ini, sikap sambil lewa dan tidak menunjukkan keprihatinan tinggi dalam kalangan ibu bapa terhadap perubahan anak yang menjadi mangsa jenayah seksual dilihat antara faktor utama isu itu tidak berkesudahan.

Iklan

Rasa malu, stigma masyarakat yang memandang serong dan menjatuhkan hukum kepada mangsa juga menjadi alasan keluarga memilih menutup mulut atau enggan melaporkan kejadian yang berlaku.

Alasan itu tidak harus lagi menjadi ‘pegangan’ keluarga kerana kanak-kanak wajib dilindungi. Ibu bapa perlu lebih proaktif menjaga keselamatan anak-anak supaya pemangsa seksual tidak berpeluang melakukan jenayah.

Kempen, ceramah bulanan dan poster berkaitan jenayah seksual juga perlu dilakukan secara berterusan terutama di sekolah sehingga peringkat institusi pendidikan tinggi kerana dari situ mereka akan sentiasa berwaspada serta berjaga-jaga. Pendidikan seksual termasuk di sekolah juga dilihat langkah terbaik bagi mengelak gangguan seksual.

Ingatlah, anak-anak juga mempunyai maruah dan perlu dihormati. Dengar semua apa yang disampaikan oleh mereka.

Sangatlah menyedihkan jika anak-anak berasa tidak selamat walaupun berada di dalam rumah dengan ahli keluarga sendiri kerana ia sepatutnya menjadi ‘rumahku syurgaku’.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!