Gelora udara SIA: Semua warga Malaysia termasuk anak kapal SQ321 stabil

Iklan
16 rakyat Malaysia adalah antara 211 penumpang dalam penerbangan SIA SQ321. Foto AFP

BANGKOK - Kesemua 10 rakyat Malaysia, termasuk seorang anak kapal dari penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 berada dalam keadaan stabil, kata Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Jojie berkata, beliau telah bertemu enam daripada mereka di Hospital Samitivej Srinakarin, yang kesemuanya sedar dan beberapa daripada mereka mampu berjalan.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan daripada mereka mengalami kecederaan tulang belakang dan telah menjalani imbasan MRI dan CT...tetapi saya tidak dapat bertemu dengan anak kapal yang perlu menjalani pembedahan hari ini kerana kecederaan tulang belakang.

"Kami dimaklumkan bahawa dia (anak kapal) dalam keadaan stabil walaupun perlu menjalani pembedahan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa Malaysia di Hospital Samitivej Srinakarin di sini hari ini.

Iklan

Jojie berkata, Kedutaan Malaysia kini sedang membantu keluarga anak kapal untuk melawat mangsa petang ini.

"Kami menyediakan bantuan kepada mangsa Malaysia serta keluarga mereka untuk datang melawat mereka. Kami juga diberi jaminan oleh SIA dan pihak hospital bahawa mereka akan menjaga semua mangsa," katanya.

Iklan

Beliau menambah bahawa Kedutaan Malaysia akan terus berkomunikasi dengan Kedutaan Singapura dan SIA untuk memastikan semua pesakit dijaga dengan baik.

Bagi tiga lagi rakyat Malaysia yang kini dimasukkan ke Hospital Samitivej Sukhumvit, Jojie berkata, beliau dimaklumkan bahawa mereka boleh keluar hospital tidak lama lagi.

"Kami diberitahu bahawa mereka tidak berada dalam keadaan kritikal dan mereka akan dibenarkan keluar bila-bila masa," katanya.

Bagaimanapun, Jojie berkata, ia akan mengambil masa untuk semua pesakit pulih sepenuhnya dan beberapa mangsa mungkin memerlukan penjagaan lanjut selepas pulih.

"Dalam situasi seperti ini, saya fikir tempoh pemulihan bergantung kepada setiap individu. Kami berdoa agar kesemua mereka dapat pulih secara fizikal dan emosi dengan segera, tetapi ia memakan masa," katanya.

16 rakyat Malaysia adalah antara 211 penumpang dalam penerbangan SIA SQ321.

Penerbangan dengan 18 anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari London ke Singapura apabila ia menghadapi gelora udara yang ekstrem secara tiba-tiba di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 37,000 kaki, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan mengalihkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok, mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan, Selasa.

Insiden itu menyebabkan seorang maut dan beberapa orang cedera.

Pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata pada Rabu bahawa insiden itu telah menyebabkan seorang lelaki British berusia 73 tahun meninggal dunia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!