Petron mulakan tahun 2024 secara positif

Iklan
Petron mencapai peningkatan pengeluaran yang lebih tinggi di Loji Penapisan Port Dickson, Negeri Sembilan. (Gambar kecil: Ramon)

PATRON Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron) memulakan tahun 2024 secara positif dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam jumlah jualan yang disokong oleh prestasi lebih kukuh daripada segmen perniagaan utamanya.

Petron dalam satu kenyataan berkata, jumlah jualan syarikat mencapai 9.8 juta tong pada tiga bulan pertama iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Peningkatan dalam segmen perniagaan runcit dan komersial telah menjadi pendorong utama untuk kenaikan tersebut. Ia turut disokong oleh program pengembangan rangkaian runcit yang berterusan di Petron dan peningkatan pengeluaran yang lebih tinggi di Loji Penapisan Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Pendapatan Petron mencecah RM4.65 bilion pada suku pertama dengan kenaikan sebanyak 22 peratus daripada tempoh yang sama pada tahun lepas.

Iklan

"Ini telah menghasilkan keuntungan kasar sebanyak RM179 juta, meningkat berbanding tahun sebelumnya didorong oleh pertumbuhan jualan namun diimbangi oleh ‘crack’ penapisan serantau yang lebih rendah,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah dan Eropah Timur kekal mempengaruhi harga minyak antarabangsa.

Iklan
Petron Malaysia turut merancang pemasangan sistem panel solar di 100 stesen minyak menjelang 2025 sebagai tambahan kepada 35 stesen minyak yang sedia ada.

"Penanda aras harga minyak mentah ‘Dated Brent’ meningkat sebanyak 10 peratus pada suku pertama, iaitu daripada AS$78 (RM366.85) setong pada Disember 2023 dan melonjak ke AS$85 (RM399.90) setong pada Mac tahun ini selepas ianya mengalami kemerosotan sebanyak 17 peratus pada suku keempat tahun lepas,” kata kenyataan itu.

Jumlah perbelanjaan operasi turun sebanyak enam peratus menyebabkan peningkatan pendapatan operasi sebanyak enam peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas, iaitu dari RM125 juta kepada RM132 juta.

Sementara itu, Pengerusi Petron, Ramon S. Ang berkata, kerugian daripada peruntukan sementara ‘mark-to-market’ ke atas lindungan nilai komoditi telah menyebabkan keuntungan bersih menyusut ke RM70 juta berbanding dengan RM109 juta pada tahun 2023.

"Ini merupakan permulaan yang baik pada tahun 2024. Berpandukan asas perniagaan kukuh dan pengurusan risiko yang berhemah, strategi kami bukan sahaja merangkumi pengembangan rangkaian runcit tetapi meliputi kecekapan operasi dan pengurusan sumber.

"Faktor-faktor ini telah meletakkan kami di kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran industri dan mencapai kejayaan yang berterusan," kata Ramon.

Petron memberi tumpuan yang sama kepada inisiatif kelestariannya dari segi pengurangkan jejak karbon, meminimumkan sisa buangan, dan menggalakkan ekonomi kitaran.

Mesin layan diri yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) atas kerjasama dengan KLEAN Malaysia, kini boleh didapati di stesen minyak Petron terpilih untuk menggalakkan pengitaran semula plastik di kalangan komuniti setempat.

Petron Malaysia turut merancang pemasangan sistem panel solar di 100 stesen minyak menjelang 2025 sebagai tambahan kepada 35 stesen minyak yang sedia ada.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!