Warga emas maut nahas dua kenderaan

Iklan
Lokasi kemalangan yang menyebabkan seorang warga emas maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di kilometer (KM) 31.5, Jalan Kluang pada Khamis. Foto IPD Batu Pahat

BATU PAHAT - [DIKEMASKINI] Seorang warga emas maut sementara seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di kilometer (KM) 31.5, Jalan Kluang dekat sini pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan sekitar jam 11.40 pagi melibatkan sebuah kereta dan motosikal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Parit Raja menghala ke arah Ayer Hitam telah melanggar sebuah kereta yang sedang keluar dari simpang di lokasi kejadian.

"Perlanggaran itu menyebabkan mangsa yang berusia 66 tahun dan beralamat di Felda Ayer Hitam, Kluang, Johor itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Pada masa sama, pemandu kereta yang juga seorang warga emas berusia 63 tahun mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kepala," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Iklan

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada RM20,000

Pihak polis turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan polis dengan menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!