Taktik simpan dadah dalam kereta buruk terbongkar

Iklan
Kumar (kanan) menunjukkan kereta yang digunakan sebagai tempat simpanan dadah oleh sindiket.

JOHOR BAHRU - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kereta buruk sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum dijual terbongkar selepas dua lelaki tempatan ditahan dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan yang dijalankan menerusi operasi khas selama lima hari bermula pada 16 Mei lalu berjaya merampas dadah pelbagai jenis 13.8 kilogram (kg) bernilai RM331,339.

Iklan
Iklan

Katanya, dalam serbuan berkenaan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 36 tahun yang bertindak sebagai pengedar dadah berjaya ditahan.

"Siasatan mendapati kereta lama yang mengandungi dadah berkenaan sengaja diletakkan dalam keadaan terbiar di lokasi-lokasi terbuka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Iklan

"Kedua-dua suspek menyimpan bekalan dadah dalam kereta dengan sebuah diletakkan di kawasan perumahan manakala sebuah lagi kereta diletakkan di belakang sebuah premis di Taman Mount Austin.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kereta menemui dadah sebanyak 13.8 kilogram (kg) membabitkan 10.74 kg heroin; 80 gram syabu; 875 gram ganja dan 6,100 biji pil Eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM331,339," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Khamis.

Iklan

Menurut Kumar, jumlah dadah yang dirampas itu boleh dijual dan digunakan seramai 61,080 penagih di negeri ini.

Katanya, sindiket dadah dari kereta itu dipercayai telah beroperasi sejak Mac lalu.

"Selain rampasan dadah, polis juga merampas dua kereta bernilai RM75,000; dua motosikal (RM11,000); wang tunai termasuk mata wang Singapura (RM5,020) dan seutas rantai emas (RM3,330).

"Kedua-dua suspek direman sejak 17 Mei lalu sehingga hari ini dan siasatan dibuat menerusi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan," katanya.

Dalam pada itu, Kumar memaklumkan sebanyak 2.1 tan dadah berjumlah RM18.79 juta berjaya dirampas dalam operasi anti dadah di negeri ini antara 1 Januari sehingga Isnin lalu.

"Seramai 10,006 pesalah berkaitan dadah juga telah ditahan dalam tempoh sama dengan harta sindiket dadah yang dirampas membabitkan nilai RM6.34 juta," katanya.