Beri ruang muka baharu tanding presiden, timbalan - Syed Abu Hussin

Iklan
Syed Abu Hussin

TAIPING - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa melepas jawatan tersebut pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung tahun ini bagi memberi laluan kepada muka baharu sebagai peneraju.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal berkata, perkara sama juga turut perlu dilakukan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagi memberikan peluang kepada lebih ramai pemimpin yang layak bertanding bagi meneruskan kepimpinan Bersatu.

Iklan
Iklan

"Saya sangat tidak bersetuju presiden dan timbalan presiden mengekalkan untuk mempertahankan jawatan atau menang tanpa bertanding.

"Saya cadangkan supaya dibuka untuk pemilihan nanti.

"Presiden (Muhyiddin) dan Timbalan Presiden (Ahmad Faizal) tak payah bertanding.

"Bagi ruang kepada generasi baharu untuk mencorakkan politik masa depan Bersatu dan negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui meninjau Pasar Pagi Taman Kaya di sini pada Khamis.

Syed Abu Hussin (kanan) bertemu peniaga ketika meninjau Pasar Pagi Taman Kaya di Taiping pada Khamis.

Iklan

Syed Abu Hussin dalam pada itu turut tidak bersetuju dengan beberapa pindaan perlembagaan parti untuk menghalang ahli-ahli bertanding pada pemilihan parti.

Menurutnya, Bersatu perlu terbuka seiring dengan sistem demokrasi diamalkan di negara ini dengan memberi ruang kepada ahlinya bertanding tanpa sekatan.

Iklan

"Apabila banyak syarat yang diletakkan, maka itu menyekat kebebasan berkhidmat, bersuara dan untuk menawarkan diri bagi jawatan yang lebih tinggi.

"Sepatutnya parti yang semuda ini memberikan ruang yang lebih luas kepada ahli dan bakal pemimpin muda," katanya.

Pada Rabu media melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan tiada keperluan mengadakan pertandingan bagi merebut jawatan timbalan presiden.

Malah Sinar Harian mendedahkan, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengesahkan akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden Bersatu pada pemilihan kali ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!