Kerajaan belum tetap tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel

Iklan
Armizan (dua dari kanan) bergambar selepas Majlis Penyerahan Fleet Card di Kawasan Rehat dan Rawat Klang Utara Lebuhraya Grand Sepadu pada Khamis.

KLANG - Kerajaan belum menetapkan tarikh sebenar pelaksanaan penyasaran subsidi diesel meskipun secara prinsipnya ia akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu hanya akan dilaksanakan sekiranya Jemaah Menteri berpuas hati dengan segala mekanisme penyasaran tersebut termasuk memastikan semua kumpulan sasar layak mendapatkan bantuan sosial tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, kerajaan akan memastikan supaya penyasaran subsidi itu diperkemas dan diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman pelaksanaannya kelak.

"Apa yang disebut PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini merupakan penyasaran subsidi iaitu menyasarkan mereka yang layak untuk dibantu dan bukan lagi bantuan subsidi diesel secara pukal yang juga dinikmati oleh mereka yang tidak bersesuaian termasuk warga asing," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Fleet Card di Kawasan Rehat dan Rawat Klang Utara Lebuhraya Grand Sepadu pada Khamis.

Armizan berkata, penyasaran semula bahan api diesel itu bukan sahaja melibatkan kementeriannya, malah beberapa kementerian lain iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Iklan

Bagaimanapun, katanya, semua kementerian telah bersedia sekiranya kerajaan membuat pengumuman berhubung pelaksanaan itu nanti.

Jelas beliau, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 bukanlah sistem baharu tetapi ia telah dilaksanakan sejak tahun 2013.

"Cuma kita perkukuhkan dengan perluasan kepada jenis kenderaan sektor pengangkutan darat," tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 28,000 syarikat pengangkutan darat telah mendaftar dan mendapat kelulusan dalam pelaksanaan SKDS 2.0 setakat Rabu.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 90,000 fleet card dikeluarkan oleh lima syarikat minyak utama kepada syarikat pengangkutan yang layak.

"Setakat ini, sebanyak 33 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat layak untuk mendapatkan diesel subsidi di bawah SKDS," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, syarikat yang terlibat diharap dapat membuat permohonan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi diumumkan kerajaan.

"Kita menasihatkan syarikat pengangkutan membuat permohonan segera kerana kita khuatir sebaik sahaja pengumuman nanti dibuat, maka akan berlaku kesesakan dalam permohonan itu.

"Sekurang-kurangnya dengan permohonan segera mereka telah pun bersedia dan mendapat fleet card tersebut," tambah beliau.

Pada Selasa lalu, kerajaan bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia

Keputusan itu tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana penduduk di sana kebanyakannya menggunakan diesel untuk urusan seharian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!