Tabik semangat juang skuad hoki negara

Iklan
Aksi Malaysia menentang Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Kejuaraan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan 2024 Kazakhstan pada Rabu. Foto Malaysian Hockey Confederation

SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara menempah slot pusingan berikutnya selepas menjinakkan Indonesia, 5-4 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Kejuaraan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan 2024 Kazakhstan pada Rabu.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Malaysia, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi menyifatkan kemenangan itu hasil kerjasama pemain selain menterjemahkan setiap peluang dimiliki pasukan negara.

Iklan
Iklan

"Semangat juang tinggi ditunjukkan semua pemain selain keinginan mereka untuk menang pada perlawanan ini begitu tinggi. Kredit dan pujian harus diberikan kepada setiap pemain.

"Walaupun pemain masih melakukan kesilapan mudah, namun mereka bangkit untuk menutup segala kesilapan yang dilakukan dengan baik dan tahniah kepada semua pemain yang telah bermain mengikut perancangan barisan kejurulatihan.

Iklan

"Pasukan akan bersedia dengan sebaiknya untuk dua perlawanan seterusnya bertemu Thailand dan Iran. Barisan kejurulatihan pastinya akan mempersiapkan pasukan dengan perancangan yang rapi.

"Fokus utama kami pastinya meraih kemenangan dalam kedua-dua perlawanan, bagaimanapun kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan.

Iklan

"Barisan kejurulatih mengharapkan pemain dapat mengekalkan semangat juang tinggi dan berikan yang lebih lagi untuk kedua-dua perlawanan nanti selain sokongan serta doa daripada rakyat Malaysia amat kami harapkan,” katanya.

Dalam pada itu, penjaring gol kedua Malaysia, Muhammad Firdaus Omar dipilih selaku pemain terbaik perlawanan menyifatkan kemenangan yang diraih sangat bermakna buat pasukan.

"Syukur Alhamdulillah ini merupakan satu kemenangan yang cukup bermakna dan pasukan bermain dengan cukup baik dengan mengikut setiap perancangan yang telah ditetapkan pasukan.

"Kami bersedia untuk ke pusingan kedua dan kami berharap kami dapat melakukan yang terbaik,” jelasnya.

Sebagai rekod, pusingan empat pasukan terbaik melibatkan Malaysia, Kazakhstan, Iran dan Thailand diletakkan dalam Kumpulan C menyaksikan Malaysia akan bertemu Iran dan Thailand dengan misi menamatkan saingan kumpulan di kedudukan dua teratas bagi melangkah ke pentas final.

Dua pasukan yang melangkah ke pentas akhir bakal meraih slot automatik ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Poreč, Croatia pada 3 hingga 9 Februari 2025.

Dalam aksi terakhir kumpulan sebelum itu, Malaysia membuka tirai jaringan minti keempat selepas kelebihan pukulan sudut penalti pertama dimiliki diterjemahkan Muhammad Najmi Farizal Jazlan.

Menerusi satu serangan balas yang diatur, Muhammad Firdaus Omar yang tidak dikawal berjaya menyudahkan hantaran rakan separukan untuk jaringan kedua Malaysia terhasil.

Beberapa saat sebelum aksi separuh masa pertama berakhir, Malaysia dihadiahkan penalti stroke selepas pertahanan Indonesia melakukan kesilapan ketika cuba menidakkan kelebihan pukulan sudut penalti Malaysia dan Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah meletakkan Malaysia selesa di hadapan 3-0 pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Indonesia melancarkan serangan dan dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-24 dan Revo Priliandro menjaringkan gol pertama Indonesia.

Malaysia nyata tidak terkesan dengan jaringan tersebut apabila minit ke-29, sekali lagi kelebihan pukulan sudut penalti dimiliki menghasilkan jaringan menerusi Kapten Pasukan, Najmi Farizal Jazlan.

Indonesia terus menggandakan asakan untuk merapatkan kedudukan dan dua gol berjaya dicetak oleh Muhamad Alfiana bermula jaringan pukulan sudut penalti pada minti ke-31 dan diikuti gol gerakan padang seminit kemudian.

Malaysia terus memastikan jurang jaringan berjaya dilebarkan selepas Faridzul Afiq Mohd menjaringkan gol padang pada minit ke-35 namun Indonesia terus mengekori rapat hasil jaringan keempat pada minit ke-37 menerusi Adi Leksono.

Bagaimanapun jaringan tersebut tidak cukup untuk menidakkan Malaysia daripada meraih kemenangan dan sekaligus melangkah ke pusingan kedua.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!