Ketepi soal rezeki demi santuni jemaah haji

Iklan
kesempatan bertugas menyediakan juadah untuk jemaah haji diibaratkan rezeki yang tidak harus dilepaskan kerana tidak semua memperoleh peluang keemasan itu. Foto Bernama

MAKKAH - [DIKEMAS KINI] Peluang menyantuni tetamu ALLAH lebih besar nilai ganjaran berbanding keuntungan hasil perniagaan makanan yang dijalankan oleh ketua tukang masak, Anas Ahmad, 35.

Menurutnya, peluang untuk berkhidmat kepada jemaah haji yang merupakan tetamu ALLAH juga merupakan satu penghargaan dan kesempatan yang tidak boleh ditolak sama sekali.

Iklan
Iklan

Katanya, tenaga dan kemahiran dimiliki dalam bidang itu merupakan satu kurniaan perlu disumbangkan demi kebaikan jemaah haji Malaysia.

"Apa yang saya mampu berikan ialah dengan menyalurkan sumbangan menerusi kemahiran dan tenaga saya. Kalau nak sedekah wang ringgit untuk semua 31,600 jemaah haji saya tidak mampu.

Iklan

"Jadi saya ada kemahiran dan tenaga yang boleh disumbangkan kepada jemaah haji Malaysia," katanya kepada Petugas Media TH, pada Selasa.

Ismadi yang berpengalaman dalam bidang perhotelan selama 10 tahun dan mempunyai kedai makan sendiri di Puchong memohon menjadi petugas musim haji kali ini kerana mahu menyahut cabaran. Foto Bernama

Iklan

Setiap syarikat yang terdiri daripada lapan pengendali makanan mempunyai dua tukang masak dari Malaysia dengan dibantu pekerja yang dilantik pihak katering.

Dalam pada itu Anas berkata, dia yang sudah berkeluarga dan mempunyai tiga anak perlu menyediakan makanan sebanyak, 4,500 pek dalam satu-satu masa bersama beberapa pembantu dan tukang masak lain.

"Tugasan kami bukanlah berakhir di situ sahaja.Sebaliknya ia sehingga makanan selesai dijamah jemaah haji. Kita akan pastikan makanan bersih dan selamat sehingga esoknya tiada kesan sakit perut atau sebagainya," jelasnya.

Sementara itu, bagi tukang masak, Ismadi Sulaiman, 47, beliau hadir berkhidmat kerana mahu sahut cabaran memasak kepada jemaah haji yang dikatakan amat sukar.

Ismadi yang kali pertama bertugas mempunyai berpengalaman dalam bidang perhotelan selama 10 tahun dan sekarang berniaga sendiri.

"Setakat seminggu ini, saya mampu harungi, sekarang hanya menunggu cabaran tahap maksima dapur ini untuk masak bagi 4,000 pek makanan apabila jemaah sudah penuh,” katanya.

Menurutnya, perbezaan memasak di Arab Saudi dengan Malaysia amat ketara terutama di sini mempunyai jurang komunikasi kerana masalah berbahasa Arab, namun bertugas di Tanah Suci lebih seronok.

"Kami tidak boleh harap masak seperti di Malaysia, kalau barang tiada kita kena harungi juga tetapi kerja di sini mental kena kuat terutama masalah pertuturan. Kerja di sini lebih ‘enjoy’ dibantu oleh ketua chef saya, kita cuba susun sebaik mungkin,” katanya.

Ismadi berkata, selain meninggalkan keluarga dalam tempoh yang lama antara pengorbanan untuk bertugas di Tanah Suci adalah beliau terpaksa menutup perniagaan kedai char kuey teow di Puchong.

"Saya tinggal keluarga di tanah air dan saya juga tutup perniagaan saya. Saya pula tidak pernah jauh dengan keluarga tetapi saya sudah berniat datang di sini untuk berjihad.

"Apa sahaja niat kita buat, insya-ALLAH, akan dipermudahkan. Saya tutup perniagaan di Taman Putra Perdana, Puchong selama 60 hari, saya tak takut rugi kerana rezeki ALLAH bagi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!