PCS diterima sertai GRS

Iklan
Penyertaan PCS dalam GRS sebagai sebuah parti lokal merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan politik di Sabah. Gambar hiasan

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Parti Cinta Sabah (PCS) secara rasminya telah diterima sebagai salah sebuah komponen parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun berkata, penyertaan PCS dalam GRS sebagai sebuah parti lokal merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan politik di Sabah.

Iklan
Iklan

"PCS yang diketuai Presidennya, Tan Sri Anifah Aman telah membuat permohonan secara rasmi untuk menyertai GRS sebagai komponen baharu dan kesemua presiden parti secara sebulat suara menerima PCS menjadi komponen GRS.

Beliau percaya dengan kerjasama yang lebih erat itu akan dapat mencapai matlamat bersama untuk membangunkan negeri Sabah ke arah yang lebih makmur dan sejahtera.

Iklan

"Selari dengan prinsip Sabah First, GRS kini semakin kukuh dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Sabah tercapai.

"Kami berharap agar rakyat Sabah memberikan sokongan padu kepada GRS dalam usaha kita untuk membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua," katanya.

Iklan

GRS sebelum ini disertai oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

PCS beri jaminan bekerja keras perkukuh GRS

Sementara itu, Anifah memberi jaminan akan bekerja keras untuk memastikan GRS memperkukuhkan kedudukannya sebagai sebuah blok kuasa politik di Sabah.

Katanya lagi, penerimaan PCS sebagai sebuah parti politik tempatan disifatkan sebagai DNA dalam politik PCS sendiri yang turut memperjuangkan hak Sabah.

"Seperti pepatah, keluarga yang makan bersama, sentiasa tetap bersama. Dalam gabungan ini, PCS berkongsi visi dan misi yang sama dengan GRS untuk Sabah dan rakyat.

"Lagipun, kami adalah parti tempatan Sabah dan secara semula jadi, kami melihat rumah kami di GRS yang merupakan entiti tempatan yang telah lama dibayangkan oleh penduduk Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau lagi, PCS juga berkongsi tanggungjawab GRS bagi mengukuhkan desakan Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Saya memberi jaminan bahawa PCS akan bekerja keras untuk memastikan GRS akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai blok kuasa politik yang mencerminkan identiti rakyat Sabah dari semua etnik dan kepercayaan, dan juga satu bentuk kuasa yang mereka boleh letakkan kepercayaan dan harapan untuk generasi akan datang.

"Saya teringat kata-kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor 'rumah kita, kitalah yang jaga' dan bagi kebanyakan orang Sabah, kata-katanya itu membuatkan kita bangga kerana ia meluahkan suara hati kita.

"Bagi PCS, penerimaan parti kami ke dalam keluarga GRS membuatkan kami berasa seperti pulang ke rumah dan kami akan menjaga rumah ini kerana ini adalah rumah kita semua," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!