Malaysia, Uzbekistan akan tingkatkan kerjasama ekonomi - Tengku Zafrul

Iklan
Tengku Zafrul

SAMARKAND - Malaysia dan Uzbekistan akan memperbaharui komitmen mereka untuk mengukuhkan hubungan ekonomi sempena hubungan diplomatik selama empat dekad, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, Malaysia kekal komited terhadap usaha kerjasama dengan Uzbekistan dalam pembaharuan perindustrian, sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030.

Iklan
Iklan

"Salah satu tonggak utama perkongsian ekonomi ini adalah untuk meningkatkan hubungan perniagaan. Populasi muda yang besar dan pertumbuhan ekonomi Uzbekistan memberikan peluang besar kepada syarikat Malaysia yang mahu mengembangkan kehadiran mereka di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia peringkat tinggi di Silk Road Samarkand Complex, di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev.

Tengku Zafrul berkata, hubungan erat Malaysia dan Uzbekistan serta persahabatan yang berkekalan sejak 32 tahun lalu berakar umbi dalam nilai, sejarah dan kepentingan bersama kedua-dua negara telah menjadi asas kepada kerjasama diplomatik dan ekonomi kukuh.

Iklan

"Lawatan sulung oleh Perdana Menteri inii menunjukkan komitmen Malaysia untuk memupuk hubungan lebih kukuh antara kedua-dua negara dan kami berharap hubungan perniagaan akan mencerminkan minat ini," katanya.

Tengku Zafrul juga berkata, adalah wajar bagi kedua-dua negara untuk menggiatkan semula penglibatan mereka untuk merebut peluang baharu kerjasama melalui Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Uzbekistan yang merupakan platform khusus untuk memupuk kerjasama ekonomi yang lebih erat, memudahkan perdagangan, dan meneroka peluang baharu untuk perkongsian dan kerjasama.

"Memandangkan kita kini hidup dalam persekitaran yang semakin kompleks, perdagangan yang lebih mantap harus disediakan untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan perniagaan.

"Sehubungan itu, Malaysia berminat untuk bekerjasama bagi meningkatkan kemudahan perdagangan dan kemudahan menjalankan perniagaan antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata, salah satu agensi di bawah kementeriannya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengambil pendekatan proaktif untuk menjalin kerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Uzbekistan (CCIU), menandakan permulaan kepada kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara.

Mengenai forum perniagaan peringkat tinggi itu, beliau berharap ia akan membuka jalan dan memangkin lebih banyak perkongsian antara komuniti perniagaan dan menggalakkan pemimpin perniagaan untuk terus meneroka potensi kerjasama untuk manfaat bersama kedua-dua negara.

Tengku Zafrul adalah antara anggota delegasi Malaysia dalam lawatan ke Uzbekistan yang diketuai oleh Perdana Menteri.

Perdana Menteri berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi selama tiga hari.

Beliau tiba di ibu negara Uzbekistan, Tashkent pada hari Jumaat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!