Penyokong Kedah solidariti bersama Faisal Halim

Iklan
Penyokong Kedah memakai baju tertera tulisan 'stand with Faisal Halim, stop the violence'.

PENYOKONG Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak ketinggalan untuk menunjukkan solidariti kepada pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid baru-baru ini.

Biarpun pasukan KDA FC akan menjadi lawan kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu, namun ia bukan penghalang untuk mereka bersama-sama berkongsi simpati dengan insiden yang menimpa Faisal.

Iklan
Iklan

Penaung kelab penyokong Jiwa Legasi Kedah, Mohd Anuar Shamsuddin berkata, beliau sedih dengan apa yang terjadi kepada Faisal dan menyifatkan pemain tidak seharusnya menjadi mangsa keganasan.

"Kita bersolidariti dengan Faisal. Apa yang berlaku kepadanya sangat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku dalam bola sepak kita.

Iklan

"Malah, dia juga pemain kebangsaan, berjuang untuk negara dan kita harus tunjukkan sokongan kepadanya," katanya kepada Sukan Sinar di Stadium MBPJ pada Sabtu.

Sebelum ini, Faisal yang juga pemain sayap Harimau Malaya mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Iklan

Dia terpaksa menjalani tiga pembedahan dan menunjukkan petanda positif untuk pulih selain sudah dipindahkan ke wad biasa daripada unit rawatan rapi (ICU).

Faisal akan menjalani pembedahan keempat iaitu 'split skin graft' (SSG) yang mungkin akan menjadi pembedahan terakhirnya pada minggu depan.