987 bayi didiagnosis masalah pendengaran pada 2023 - Dr Dzulkefly

Iklan
Dr Dzulkefly ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Program Hear Me?s Got Talent di Dewan Auditorium Hospital Cyberjaya, pada Sabtu. Foto Bernama

CYBERJAYA - Sebanyak 987 daripada 253,822 bayi yang disaring menerusi Program Saringan Pendengaran Bayi Universal (UNHS) pada 2023 didiagnosis mengalami masalah pendengaran, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang tinggi kepentingan pengesanan awal masalah pendengaran dan program UNHS iaitu saringan pendengaran bayi baru lahir merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari Menteri Kesihatan sejak 2023.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan kerjasama semua pihak. Bermula 13 Dis 2023 hingga 21 Mac 2024 pula, sebanyak 68,823 bayi baru lahir iaitu 138 peratus daripada sasaran KPI yang ditetapkan telah berjaya disaring pendengaran mereka sebelum mencapai umur 29 hari," katanya.

Dzulkefly berkata, menerusi Belanjawan 2024, sebanyak RM130 juta telah diperuntukkan untuk memperhebat aktiviti pencegahan penyakit bagi memastikan kesejahteraan keluarga Malaysia Madani supaya kekal afiat.

Iklan

"Peruntukan ini turut melibatkan program saringan pendengaran bayi baru lahir yang akan digunakan ke arah meningkatkan liputan saringan bayi bagi membolehkan bayi dan kanak-kanak bermasalah pendengaran dapat mencapai potensi diri yang maksimum, seterusnya menyumbang semula ke arah pembangunan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM selaku Urusetia Tabung Bantuan Perubatan akan mempertimbangkan permohonan rakyat Malaysia termasuk pesara kerajaan atau ahli keluarga penjawat awam untuk perolehan peralatan pendengaran atau pembedahan implan koklea.

Iklan

Katanya, bilangan pemasangan implan koklea yang telah dilaksanakan di bawah Program Implan Koklea KKM sepanjang 2019 hingga 2023 melibatkan sejumlah 272 unit yang telah menelan belanja kira-kira RM21 juta.

"Usaha ini memberi peluang kepada anak-anak yang mempunyai masalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih baik dan seterusnya memperkasakan golongan ini terutama dalam pembelajaran,” katanya.

Semua pihak juga kata Dzulkefly, perlu meruntuhkan stereotaip dan stigma yang melanda masyarakat terhadap individu yang menggunakan alat bantu dengar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!