Rakyat Malaysia digesa patuhi peraturan visa haji - Konsulat Jeneral

Iklan
Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah mengingatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan ibadah haji pada tahun ini agar memastikan mereka memiliki visa atau permit haji yang sah sebelum memulakan perjalanan ke Arab Saudi.

Menerusi beberapa hantaran di X, Konsulat Jeneral mengulangi komitmen mereka untuk membantu rakyat Malaysia di Arab Saudi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Konsulat Jeneral mengingatkan bahawa individu yang melanggar peraturan dan undang-undang Arab Saudi mesti bersedia untuk berdepan tindakan.

"Mana-mana individu yang didapati tidak memiliki visa/permit haji yang sah akan dikenakan denda sebanyak SAR10,000 atau bersamaan RM12,485.81 (US$2,666.66) dan akan dihantar pulang ke negara asal (tanpa sempat menunaikan haji), selain disenarai hitam dari memasuki negara ini,” katanya.

Iklan

Konsulat Jeneral pada masa sama menasihati semua rakyat Malaysia agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Ini termasuk mengelak daripada cuba menunaikan ibadah haji tanpa visa atau permit haji yang sah seperti visa pelancong, visa umrah dan sebagainya.

Iklan

Rakyat Malaysia juga disarankan untuk membuat semakan terlebih dahulu mengenai pakej haji yang ditawarkan di luar pengurusan rasmi Tabung Haji.

Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan tegas bahawa hanya individu yang memiliki visa atau permit haji yang sah sahaja dibenarkan berada di Makkah mulai 24 Mei bagi menunaikan ibadah haji. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!