Batal lesen sekiranya guna visa pelancongan untuk ibadah haji

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung isu berkenaan.

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membatalkan serta-merta lesen agensi pelancongan yang didapati terlibat menyalahgunakan visa pelancong dan visa umrah untuk tujuan ibadah haji.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman telah diarah menyiasat insiden bakal haji terkandas di Makkah akibat terpedaya pakej haji murah agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

"Tidak kira ia berita palsu atau berita sahih, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan ini, lesen pelancongan mereka akan dibatalkan serta-merta.

"Tourism Malaysia yang berdekatan sedang menyiasat insiden ini. MOTAC sedang menunggu laporan penuh daripada mereka dan sekiranya diperlukan, pihak kementerian akan menghantar pegawai dari ibu pejabat untuk turun padang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 300 bakal haji Malaysia yang kini di Makkah terkandas apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Difahamkan kumpulan bakal haji terbabit terperdaya dengan tawaran pakej haji yang murah selain menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.

Iklan

King Sing berkata, maklumat awal mendapati kira-kira 300 bakal haji yang pergi ke Makkah telah dimaklumkan bahawa pas pelancong yang mereka gunakan boleh ditukarkan kepada umrah atau haji.

"Perkara ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab sama sekali! Sesetengah agensi pelancongan atau individu tertentu telah menyalahgunakan kepercayaan jemaah dengan memberikan maklumat yang tidak tepat.

"Tindakan seperti ini bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, tetapi juga meletakkan keselamatan dan kepentingan jemaah dalam risiko di Arab Saudi,” katanya.

Beliau meminta supaya tiada jemaah umrah yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa sehingga masuk ke musim haji kerana ia adalah satu kesalahan di bawah peraturan kerajaan Arab Saudi iaitu menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah.

"Kerajaan Arab Saudi hanya mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung Haji (TH),” katanya.

Sehubungan itu King Sing menyarankan bakal haji terkandas untuk membuat laporan kepada TH dan kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi bagi mendapatkan khidmat bantuan dan nasihat.

"Saya berharap mana-mana syarikat agensi pengurusan umrah dan haji dapat memegang tanggungjawab dan menjalankan perniagaan dengan memberi tawaran perkhidmatan yang baik kepada rakyat,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!