KPN zahir takziah kepada keluarga dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terkorban

Iklan
Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq merupakan anggota ronda cegah jenayah di Balai Polis Ulu Tiram. Foto FB PDRM

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini awal pagi tadi.

Turut merakamkan ucapan sama Timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Iklan

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi PDRM pada Jumaat.

Menurut hantaran itu, kedua-dua anggota polis yang meninggal dunia ketika sedang bertugas dalam kejadian serangan itu ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.

Iklan

"Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq merupakan anggota ronda cegah jenayah di balai polis tersebut dan baru sahaja berkhidmat dengan pasukan lebih kurang dua tahun.

"Didoakan agar kedua-dua roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.

Iklan

Terdahulu, Razarudin tiba di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada jam 1.25 tengah hari untuk melawat seorang anggota polis yang cedera dalam serangan itu.

Ketua Polis Negara turut meluangkan masa kira-kira lima minit untuk menyantuni anggota itu dan ahli keluarganya.

Beliau kemudian ke Jabatan Perubatan Forensik HSI bagi melihat proses bedah siasat melibatkan dua anggota polis yang maut dalam serangan itu.

Turut mengiringi Razarudin, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dan timbalannya, Deputi Komisioner Afandi Senin.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi tadi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Sementara itu, M Kumar mengesahkan polis akan membuat permohonan reman terhadap tujuh individu berkaitan kes itu di Mahkamah Majistret di sini, esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!