PUTRAJAYA - Artis vateran akan menjadi keutamaan dalam majlis atau program Kementerian Komunikasi bagi membuat persembahan untuk memastikan golongan berkenaan dapat terus berkarya.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa telah dimaklumkan bagi melaksanakan pendekatan itu, selain ia turut disarankan untuk dilaksanakan di peringkat agensi dan jabatan di bawah kementerian.
"Sebarang majlis anjuran Kementerian Komunikasi yang memerlukan kehadiran artis luar, perlu mengutamakan artis veteran... sila pertimbangkan dan beri peluang artis veteran terus tabur bakti kepada negara dan beri mereka peluang selain (ia) menggalakkan mereka berkarya.
"Inisiatif ini dapat meringankan beban artis veteran yang sering kali kita lihat menempuh hari-hari sukar dan mencabar, usaha ini bersesuaian dengan inisiatif kementerian yang akan sentiasa menyantuni masyarakat, khususnya mereka yang pernah menghiburkan kita pada satu masa dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di sini pada Khamis.
Fahmi berkata, pendekatan menyantuni bakat-bakat seni veteran itu dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak berasa terasing.
"Saya nak kita beri peluang artis veteran kita... sebab sering kali kita jemput yang muda dan kacak, yang veteran juga ada masih kacak dan ia tidak jadi masalah," katanya dan menambah, pendekatan itu selaras tanggungjawab kementerian terhadap industri kreatif negara.
Sementara itu beliau berkata, penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital, yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital pada 12 Disember lepas telah meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat.
"Walaupun terdapat perubahan portfolio, tugas dan peranan yang dipikul adalah masih sama iaitu bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat masih pada tahap tertinggi. Kita sentiasa bekerjasama dalam tugasan tertentu melalui kolaborasi strategik yang berkesan.
"Justeru kita perlu memainkan peranan ini dengan penuh dedikasi dan amanah. Jika perkhidmatan awam perlu bekerjasama dengan pihak swasta dalam usaha memajukan negara, maka laksanakanlah," katanya.
Seramai 522 warga Kementerian Komunikasi menerima sijil penghargaan dan insentif bernilai RM1,000 sempena APC hari ini, termasuk 63 penerima daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Mohamad Fauzi serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!