Jabatan Landskap Negara diarah kenal pasti spesis pokok sesuai di bandar

Iklan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Pra Pelancaran Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024 di Taman Persahabatan China-Malaysia, Anjung Floria pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Jabatan Landskap Negara diarahkan untuk mengenal pasti spesis pokok yang sesuai untuk ditanam di kawasan bandar yang tidak mengundang bahaya kepada orang awam, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan kerja-kerja berkaitan akan dilaksanakan dalam masa terdekat oleh jabatan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Jabatan Landskap Negara telah diberikan amanah untuk mengenal pasti spesis pokok yang sesuai ditanam dalam kawasan bandar iaitu di sepanjang jalan demi menjaga keselamatan orang awam,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Hari Landskap Negara 2024 (HLN 2024) di sini pada Rabu.

Menerusi hantaran di aplikasi X hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menanam semula 100 pokok baharu bagi setiap pokok yang terpaksa ditebang.

Iklan

Langkah itu juga susulan beberapa insiden pokok tumbang di ibu kota dalam masa sebulan hingga ada yang maut akibat kejadian tidak diduga itu.

Insiden yang berlaku pada 7 Mei lepas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur itu telah menyebabkan seorang lelaki maut dan seorang cedera selepas dihempap sebatang pokok tumbang susulan hujan lebat dan angin kencang.

Iklan

Mengenai HLN 2024, Nga berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan sambutan HLN 2024 di Taman Tasik Shah Alam, Selangor pada 25 Mei.

Menurutnya ini merupakan kali pertama dalam sejarah Yang di-Pertuan Agong berangkat mencemar duli untuk merasmikan Hari Landskap Negara.

Katanya, sambutan HLN 2024 yang merupakan sambutan kali ke-25 bertemakan ‘Industri Landskap Pemacu Pembangunan Madani akan diadakan selama 10 hari bermula pada 24 Mei dan dijangka dihadiri 50,000 pengunjung.

Kor Ming berkata, penganjuran HLN 2024 bertujuan meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap landskap terutamanya dalam kalangan generasi muda serta menyebar luas kepentingan landskap terhadap kesejahteraan kehidupan melalui program pembangunan landskap yang komprehensif.

"Sambutan ini juga bertujuan meningkatkan kualiti pembangunan landskap negara dengan mewujudkan kesedaran, menarik minat dan pengetahuan dalam kalangan semua pihak terhadap landskap,” katanya.

Pelbagai acara dirancang untuk memeriahkan sambutan antaranya Larian HLN 2024, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, demonstrasi masakan ‘From Garden to Kitchen’, pertandingan melukis mural dan pembinaan arca dari bahan kitar semula. - Bernama