Persefahaman rakan gabungan: PM yakin terus laksana pembaharuan

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum di Perpustakaan Kebangsaan Qatar di Universiti Hamad Bin Khalifa pada Isnin. Foto Bernama

DOHA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menyatakan keyakinannya untuk melaksanakan lebih banyak pembaharuan dalam kerajaan, berikutan persefahaman yang kukuh dalam kalangan semua pihak di bawah Kerajaan Madani.

Walaupun pada permulaan penggalnya Kerajaan Madani berhadapan dengan skeptisisme, beliau berkata, semua parti di bawah gabungan itu terus berusaha melakukan pembaharuan, terutama dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Iklan
Iklan

"Dan saya rasa, penghargaan perlu diberikan kepada parti yang saya pimpin dan gabungan itu, termasuk gabungan dari Sarawak dan Sabah.

"Saya katakan, sudah satu setengah tahun, tiada siapa dan tanpa keterlaluan, tiada seorang pun daripada mereka (gabungan) cuba dan datang kepada saya dan berkata, tidak Anwar, perlahankan tindakan terhadap antirasuah ini, atau kami akan menolak pembaharuan ini atau...Tiada!.

Iklan

"Jadi sebab itulah saya boleh melakukannya dengan penuh semangat dan keyakinan, dan saya percaya Malaysia boleh meneruskannya (pembaharuan),” katanya semasa syarahan umum di Perpustakaan Kebangsaan Qatar, Universiti Hamad bin Khalifa, di sini pada Isnin.

Sambil mengucapkan rasa syukur, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pada permulaan pembentukan gabungan itu, beliau berkata, setiap parti terlibat berbincang mengikut prinsip masing-masing.

Iklan

"Tiada seorang pun dari mereka bercakap mengenai kedudukan mereka, mereka mahukan menteri ini, berapa menteri, tiada, kerana mereka kenal saya. Jika mereka letakkan syarat, saya akan katakan tiada perbincangan.

"Tetapi saya mesti berikan kredit kepada mereka kerana mereka hanya memerlukan jaminan tertentu,” kata Anwar dan menambah, ini termasuk mengiktiraf hak majoriti Melayu dan raja berperlembagaan, seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, demikian bagi menjawab soalan sama ada usaha untuk pembaharuannya itu menghadapi kesukaran semasa memimpin Kerajaan Madani yang disokong oleh banyak parti komponen.

Turut hadir pada syarahan umum itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Timbalan Presiden UMNO; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Perdana Menteri kini sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Qatar, yang merupakan lawatan sulungnya ke negara Teluk itu, selepas mengangkat sumpah pada 24 November 2022. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!