Kemalangan jalan raya, insurans bayar RM15.1 juta sehari

Iklan
Pertambahan kemalangan jalan raya berpotensi tingkatkan kos insurans. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Purata tuntutan insurans yang dibayar kepada pengguna kenderaan di Malaysia meningkat kepada RM15.1 juta sehari pada 2023 iaitu tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Ia berdasarkan kajian dibuat GlobalData yang berpangkalan di London, United Kingdom.

Iklan
Iklan

Menurut penganalisis data, Sneha Verma, pertambahan jumlah kemalangan jalan raya merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kos tuntutan insurans tersebut.

"Buat masa sekarang, insurans kenderaan menerajui industri insurans am Malaysia yang menyumbang 46.9 peratus dalam premium bertulis langsung insurans am (DWP).

Iklan

"Ia dijangka meningkat sebanyak 8.9 peratus tahun ini disokong oleh peningkatan penjualan kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sneha turut memaklumkan, insurans harta benda merupakan komponen kedua terbesar dengan anggaran 26.4 peratus bahagian DWP untuk tahun ini dan ia dijangka berkembang sebanyak 11.4 peratus termasuk peningkatan permintaan bagi polisi insurans bencana alam.

Iklan

"Menurut pemerhatian Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kehilangan barang kerana hujan lebat di seluruh negara baru-baru ini meningkatkan permintaan untuk insurans bencana alam sebanyak 33 peratus.

"Kenaikan harga premium kerana tuntutan dan inflasi yang tinggi juga akan menyokong pertumbuhan insurans hartanah.

"Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah kerugian akibat banjir meningkat sebanyak 21 peratus pada 2023 berjumlah RM755.4 juta berbanding RM622.2 juta pada 2022,” ujar beliau.

Sneha turut menambah, ia dijangka bakal meningkatkan kadar premium pada 2024 dan menyokong insurans hartanah untuk mendaftarkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 9.8 peratus menjelang 2024-2028.

Dalam pada itu, Sneha menjelaskan bahawa insurans kemalangan diri dan kesihatan merupakan komponen ketiga terbesar yang menyumbang kira-kira 10.1 peratus DWP insurans am untuk tahun ini.

"Insurans ini dijangka berkembang sebanyak 0.3 peratus pada 2024, didorong oleh peningkatan kesedaran kesihatan dan inflasi perubatan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!