[VIDEO] Askar, polis undi calon PH - Bekas MP Kangar

Iklan

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mendakwa undi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu memihak kepada calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dengan 592 undi.

Noor Amin menerusi X memberitahu, calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut memperoleh 156 undi setakat jam 5 petang tadi.

Iklan
Iklan

"Manakala calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin masing-masing memperoleh satu undi,” katanya.

Sebelum ini, beberapa keping borang penyata pengundian selepas pengiraan undi turut ditularkan.

Iklan

Akaun X milik Noor Amin memaklumkan keputusan tidak rasmi undian awal PRK Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.

Iklan

Pada Selasa lalu, peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal PRK Kuala Kubu Baharu mencapai 97 peratus.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan memaklumkan, peratusan itu melibatkan 769 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan.

Menurutnya, proses pengundian awal bagi PRK itu berlangsung di dua lokasi iaitu Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine yang bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!