Kerajaan Perpaduan tidak pernah pinggir negeri pembangkang

Iklan
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan untuk Kedah membina infrastruktur di Kampung Tersusun yang akan disediakan oleh kerajaan negeri kepada penduduk miskin. (Gambar kecil: Asmirul Anuar)

ALOR SETAR - Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan kerajaan negeri yang diterajui pembangkang seperti dimomokkan pihak tertentu.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, ia dibuktikan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera bernilai puluhan juta ringgit kepada Kedah selepas Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah, Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga sekali gus menepis dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar sebagai kerajaan gagal.

"Semua persoalan telah terjawab, Sanusi patut berasa malu membuat kenyataan sedemikian.

Iklan

"Sindiran tersebut menunjukkan Sanusi semata-mata mahu mencari populariti murahan di hadapan penyokong sendiri,” katanya di sini pada Jumaat.

Muhammad Sanusi ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu minggu lalu mengatakan, Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar sebagai kerajaan gagal.

Iklan

Beliau secara sinis turut berkata, satu-satunya pencapaian yang boleh dibanggakan adalah dengan mencadangkan ubi kayu sebagai ganti kepada beras yang mahal di pasaran.

Asmirul Anuar berkata, tidak mungkin kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan peruntukan segera puluhan juta ringgit seperti diminta kerajaan negeri Kedah, sekiranya ia sebuah kerajaan yang gagal.

"Siapa yang gagal sebenarnya? soalnya.

Asmirul Anuar turut mengingatkan Muhammad Sanusi mengenai permohonan maaf terbukanya di majlis Hari Raya Aidilfitri Madani, Sabtu lalu.

"Saya percaya ia (mohon maaf) ditujukan kepada Perdana Menteri akibat pertuturan dan kelakuan beliau ketika di pentas politik yang keterlaluan dan tidak profesional. Harap Sanusi tidak mengulangi lagi pada masa depan,” katanya.

Menurutnya lagi, setiap pemimpin politik mahupun ketua kerajaan hendaklah berhemah ketika bertutur kerana ia akan menjadi ikutan penyokongnya.

"Perbezaan parti politik bukan alasan boleh berkata apa sahaja tanpa fikirkan kesan buruk atas pertuturan yang dibuat.

"Buang yang keruh, ambil yang jernih. Jangan guna medan politik untuk bercakap apa sahaja tanpa pertimbangkan implikasi jangka pendek mahupun panjang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Amanah Kedah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menyalurkan bantuan fiskal bernilai puluhan juta ringgit kepada Kedah bagi tujuan pembinaan infrastruktur seperti sistem perparitan dan jalan raya melibatkan 1,200 lot di Kampung Tersusun melibatkan rakyat miskin negeri ini.

"Peruntukan segera itu tentunya menjadi berita gembira buat penduduk miskin yang bakal menghuni Kampung Tersusun tersebut.

"Pada Julai 2023, Perdana Menteri menyalurkan peruntukan RM3 bilion kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi menjayakan program penanaman padi lima musim dua tahun berskala besar.

"Ia bagi menyediakan infrastruktur seperti sistem pengairan dan jalan di kawasan sawah seluas 201,000 hektar bagi tempoh tiga tahun. Kerajaan juga telah menaikkan subsidi padi daripada RM360 kepada RM500 tan metrik,” jelasnya.

Asmirul Anuar berkata, kesemua langkah tersebut dilakukan Perdana Menteri dalam memastikan golongan miskin tegar tidak terpinggir.

"Ia jelas menunjukkan isu membabitkan makanan ruji, pendidikan, perumahan dan program peningkatan pendapatan rakyat diberikan keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan, dan wajar disokong sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pembangkang.

"Tekad Perdana Menteri menyelesaikan kemiskinan tegar melalui pemberian peruntukan, pelaksanaan projek dan program sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, kesudian Perdana Menteri hadir pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah juga mencerminkan Kerajaan Persekutuan prihatin kepada rakyat Kedah, sekali gus menunaikan tanggungjawab selaku Kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan negeri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!