Sheriff saingi Mat Kilau, Yusof Haslam tidak berharap

Iklan
Datuk Yusof Haslam

PENERBIT dan pengarah prolifik, Datuk Yusof Haslam tidak meletak harapan filem terbaharu terbitan syarikatnya Skop Production bersama Astro Shaw iaitu Sheriff: Narko Integriti dapat menandingi rekod kutipan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu sebanyak RM97 juta pada tahun 2022.

Menurut Yusof, sejak awal lagi, beliau tidak mahu menyaingi sesiapa dan mengharapkan yang terbaik untuk filem terbaharu arahan anaknya, Syafiq.

Setakat Selasa lalu, filem Sheriff yang menyaksikan Zul Ariffin selaku teraju utama sudah mengutip lebih RM53 juta selepas 20 hari berada di pawagam.

Iklan
Iklan

Malah beliau juga merasa tidak adil untuk membandingkan dua naskhah berkenaan dalam 'suasana' perfileman yang berbeza.



"Mat Kilau juga kutip RM70 juta dalam masa 20 hari tayangan.

Mat Kilau kutip RM70 juta dalam masa 20 hari tayangan.

Iklan

"Bagi saya momen seperti itu hanya hadir untuk 1 dalam 1,000 filem. Jadi pada pandangan saya, agak sukar untuk mana-mana filem tempatan sekali pun menandingi kutipan Mat Kilau buat masa ini," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun sebagai bapa, Yusof berkata, beliau sangat berbangga kerana empat filem tempatan yang mencatatkan kutipan tertinggi merupakan hasil kerja dua anaknya iaitu Syamsul dan Syafiq.

Iklan

"Filem Mat Kilau arahan Syamsul berada di tangga pertama, manakala Sheriff kini berada di tangga kedua. Diikuti filem Polis Evo 3 juga arahan Syafiq dan Munafik 2 diarahkan Syamsul.

"Bagi saya pencapaian itu sudah cukup membanggakan buat saya," ujarnya.

Tayangan Indonesia

Ditanya adakah sebarang kemungkinan untuk kutipan Sheriff terus meningkat dalam masa dua minggu lagi, Yusof berkata, perkara itu agak sukar dengan kemunculan filem baharu setiap minggu.

Bagaimanapun figura yang terkenal dengan naskhah berlatar belakang kepolisan itu sempat berkongsi khabar gembira mengenai filem Sheriff.

"Saya tidak menolak Sheriff mungkin boleh mencecah kutipan sehingga RM60 juta sebelum filem itu dikeluarkan daripada pempamer pawagam.

"Insya-ALLAH Sheriff akan ditayangkan di Indonesia bermula 22 Mei depan, tetapi saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi.

"Tayangan filem di sana sukar dijangka. Ada filem yang hit di sini, tetapi tidak mendapat sambutan di sana seperti Mat Kilau. Ada juga yang tidak mendapat sambutan di sini tetapi box-office di Indonesia.

"Kalau bernasib baik seperti Munafik 2, ia mendapat sambutan hangat di kedua-dua buah negara. Jadi kita nanti sahaja kutipan untuk Sheriff kelak," jelasnya.

Setakat Selasa, Sheriff sudah mengutip lebih RM53 juta selepas 20 hari di pawagam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!