Akauntan muda didenda RM4,500, pasang CCTV dalam tandas

Iklan
Soon Hoe (tengah) didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di Melaka, pada Jumaat.

MELAKA - Seorang akauntan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, pada Jumaat, selepas mengaku bersalah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam tandas pejabat untuk mengaibkan rakan wanitanya.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan hukuman itu terhadap Chong Soon Hoe, 25, setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 28 tahun dengan cara memasang CCTV dalam plastik tisu di tandas yang akan mengganggu kesantunan mangsa.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah premis pejabat bernombor di Jalan Tun Perak, di sini, kira-kira jam 4.30 petang pada 7 Mei lalu.

Iklan

Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Mangsa kemudian membuat pemeriksaan di komputer riba, dan mendapati CCTV itu dipasang oleh tertuduh selain terdapat rakaman video dirinya di dalam tandas.

Iklan

Tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng memohon mahkamah melepaskan tertuduh dengan Bon Berkelakuan Baik berdasarkan peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah dan tidak dipenjarakan.

Tan Chow Teng memberi alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal kedua ibu bapanya yang mengidap darah tinggi serta kencing manis.

Malah tertuduh yang merupakan pemegang ijazah kelas pertama dalam bidang perakaunan masih muda selain telah menyesali kesalahan pertama yang dilakukan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian bagaimanapun membantah dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal mengambil kira kesalahan itu adalah serius dan kepentingan awam harus melebihi daripada kepentingan tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!