Nilai jualan sektor pembuatan meningkat kepada RM158.4 bilion

Iklan
Gambar hiasan. Foto Bernama

NILAI jualan sektor pembuatan berkembang sebanyak 1.4 peratus tahun ke tahun meningkat kepada RM158.4 bilion pada Mac 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dalam satu kenyataan hari ini berkata, peningkatan tersebut mencerminkan trend positif tahun ke tahun untuk bulan ketiga berturut-turut, kebanyakannya dipacu oleh pertumbuhan 9.6 peratus produk mineral bukan logam, logam asas dan logam yang direka.

Iklan
Iklan

"Subsektor lain adalah kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (3.4 peratus) dan peralatan elektrik dan elektronik (2.3 peratus).

"Bagi perbandingan bulan ke bulan pula, nilai jualan bertambah baik iaitu sebanyak 8.3 peratus berbanding negatif 4.3 peratus yang direkodkan pada Februari 2024,” katanya.

Iklan

Mohd Uzir berkata, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 70.4 peratus daripada jumlah jualan, turun 0.2 peratus pada Mac 2024, selepas mencatatkan kemerosotan 1.7 peratus pada bulan sebelumnya

"Penurunan tersebut disebabkan oleh kemerosotan dalam subsektor pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-6.7 peratus); pembuatan minyak serta lemak daripada sayuran dan haiwan (-5.5 peratus); dan pembuatan kimia dan produk kimia (-3.0 peratus),” katanya.

Iklan

Sebaliknya, beliau berkata, industri berorientasikan domestik kekal kukuh, berkembang sebanyak 5.4 peratus pada Mac 2024 berbanding 6.5 peratus dicatatkan pada Februari 2024.

"Pengembangan tersebut sebahagian besarnya disokong oleh pertumbuhan dua digit dalam industri pembuatan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan yang meningkat 16.6 peratus.

"Tambahan lagi, industri pembuatan produk prosesan makanan dan pembuatan produk galian bukan logam lain turut menyumbang kepada pertumbuhan tersebut dengan masing-masing mencatatkan 7.7 peratus dan 6.5 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan tumbuh 0.7 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan RM8.23 bilion pada Mac 2024 manakala purata gaji dan upah bulanan bagi setiap pekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus dengan nilai RM3,482, selain itu nilai jualan bagi setiap pekerja naik sebanyak 0.9 peratus kepada RM67,022. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!