Persiapan hari pengundian PRK KKB berjalan lancar - SPR

Iklan
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada Jumaat. Foto Bernama

HULU SELANGOR - Persiapan bagi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) esok berjalan lancar, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

Beliau yang ditemui ketika meninjau persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini berkata, semua ketua tempat mengundi telah memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan kelancaran.

Iklan
Iklan

"Setiap semakan yang dilakukan hari ini adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi. Petugas-petugas yang dilantik pejabat pengurus (PRK) juga semua berpengalaman dan diyakini mampu menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul esok," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Ikmalrudin turut menasihati pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan cadangan masa mengundi boleh disemak di laman web mySPRsemak.

Iklan

Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup pukul 2 petang.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Iklan

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!