Tiada jalan singkat menuju ke syurga

Iklan
PILIHLAH guru atau ulama yang betul dengan menggunakan akal kurniaan ALLAH SWT dengan sebaiknya agar diri kita dekat dengan-NYA. -Foto: 123rf

Martabatkan peranan ulama satukan ummah, pilih dan teliti agamawan yang betul elak kesesatan serta perpecahan

BERJUBAH, berkopiah atau berserban bukanlah ukuran untuk seseorang dipanggil ulama. Ia hanyalah penampilan luaran semata-mata.

Itu satu hal. Belum lagi individu yang digelar 'agamawan' lantang mengecam, memaki hamun dan seumpamanya secara terbuka. Malah, ada yang bersikap memecah belah dan menyesatkan umat.

Iklan
Iklan

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Arif Musa menjelaskan, ulama merupakan ahli yang berilmu.

Dalam al-Quran, beliau menjelaskan, ia dirujuk sebagai individu yang mendalami dan mempelajari Kitabullah serta as-Sunnah, selain bermanhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Iklan

"Mereka seperti ulama Fiqah, Tafsir dan ahli-ahli agama yang mendalami bidang agama Islam serta mempunyai akhlak yang baik.

DR MUHAMMAD ARIF

Iklan

"Ini kerana ulama perlu menjadi suri teladan iaitu berpengetahuan dengan ilmu yang sahih dan beramal dengan ilmu dimiliki. Demikian harapan masyarakat daripada kelompok ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Sinar Al-Jumu'ah Khas 2024 Siri 5 bertajuk ‘Peranan Ulama Satukan Ummah’ yang disiarkan di semua platform media sosial QuranHour dan Sinar Harian, Jumaat lalu.

Peri pentingnya para ulama kerana mereka menjadi pemimpin ummah. Bagaimanapun, masyarakat kini berhadapan dengan cabaran untuk mencari agamawan yang memenuhi kreteria tersebut.

Tiada siapa mahu mengulang kembali sejarah bangsa Bani Israel yang memikul kitab Taurat, tetapi tidak memahami dan menjalankan tugasan tersebut sehingga diumpamakan seperti keldai sebagaimana dirakamkan dalam ayat 5 Surah al-Jumu’ah.

Kriteria ulama

Apakah sebenarnya standard yang perlu ada pada seorang ulama?

Menjawab persoalan itu, seorang lagi panel yang juga Pengarah Urusan Elzar Shariah Sdn Bhd, Dr Zaharuddin Abd Rahman menjelaskan, selain dua rujukan utama al-Quran dan as-Sunnah, ulama yang berilmu juga membawa ummah gerun kepada Sang Pencipta.

Sebagai agamawan yang meyatukan ummah, katanya, tidak sewajarnya mereka melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam seperti melaknat atau mengecam sesuatu tidak tentu hala, memaki hamun dan seumpamanya.

DR ZAHARUDDIN

"Lihat bagaimana Umar bin Abdul Aziz apabila anaknya meminta beliau untuk segera membuang benda syirik (dalam kalangan masyarakat ketika itu) dalam masa singkat.

"Beliau berkata: 'Jangan kamu gopoh wahai anakku. Sesungguhnya ALLAH mencela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku bimbang aku melaksanakan kebenaran kepada manusia secara keseluruhannya, lalu rakyat akan menolak Islam secara keseluruhannya dan itu merupakan fitnah'," terangnya panjang lebar.

Melihat ungkapan itu, Zaharuddin berkata, jelaslah bahawa itulah sebenarnya sifat komprehensif yang perlu ada pada seorang alim ulama.

"Selain faham suasana masyarakat, mereka juga bawa akhlak yang mulia terlebih dahulu," katanya.

Elak terjebak kesesatan

Dalam pada itu, Zaharuddin menjelaskan, tidak ada satu institusi yang jelas dalam memberikan standard tertentu kepada ustaz mahupun ulama.

"Lazimnya, mereka yang ada ijazah sarjana muda dan berkelulusan Pendidikan Islam, Syariah, Usuluddin dan sebagainya digelar ustaz.

"Begitu juga seseorang yang pandai berceramah terus dipanggil ustaz termasuklah asatizah yang pakar dalam bahasa Arab, sedangkan dia tidak tahu Qawaid Fiqh, Ulum Al-Quran, Ulum Hadis dan sebagainya. Ia tidak cukup menjadikannya seorang yang boleh mengajar syariah dan seumpamanya," katanya.

DARI kiri: Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak selaku hos; Dr Zaharuddin; Dr Muhammad Arif dan qari, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur pada program Sinar Al-Jumu'ah Khas 2024 Siri 5, bertajuk 'Peranan Ulama Satukan Ummah', Jumaat lalu.

Seperkara lagi, Zaharuddin mengingatkan, tiada jalan pintas untuk masuk ke syurga hingga ada yang terjebak dengan ajaran bertentangan syariat.

"Jadi tidak ada jalan semudah itu. Malah, ALLAH SWT juga telah menunjukkan perjalanan Nabi Muhammad SAW yang sangat sukar (dalam usaha menegakkan dakwah Islamiah).

"Sebab itu pentingnya faqih dalam satu ilmu. Ada alim ulama yang tidak faqih kerana tidak tahu bagaimana hendak menggunakan ilmu yang ada dengan keadaan masyarakat setempatnya hingga menjadi sesat," ungkapnya.

Lantaran itu, beliau mengingatkan betapa signifikannya mempelajari adab terlebih dahulu sebelum ilmu.

Pada masa sama, beri perhatian dalam pemilihan guru atau ulama yang benar dengan melakukan penelitian menggunakan akal kurniaan-NYA.

Zaharuddin kemudian mengajak para agamawan supaya sentiasa bermuhasabah diri memainkan peranan sebagai pemimpin ummah.

"Ingatlah, kita tak boleh sombong kerana ada ilmu agama. Tiada sesiapa dijamin syurga sebagaimana 10 sahabat Nabi Muhammad SAW yang dijanjikan jannah,” ungkapnya.