Noktah kemiskinan tegar di Terengganu dalam dua bulan - PM

Iklan
Anwar bersama Ahmad Samsuri ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus pada Khamis.

KUALA NERUS - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua agensi Persekutuan di Terengganu menyelaraskan gerak kerja bersama kerajaan negeri bagi memastikan masalah kemiskinan tegar di negeri itu dinoktahkan dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, berdasarkan statistik terdapat 1,663 keluarga berada dalam kelompok miskin tegar di negeri itu sehingga 2 Mei lalu.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH di negeri Terengganu kita boleh noktahkan kemiskinan tegar dalam tempoh dua bulan akan datang.

"Besar harapan saya agar semua kementerian dan agensi yang berkaitan memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Terengganu ini secara berkesan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 di Pekarangan Kompleks Sukan Gong Bada di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Iklan

Taklimat ini dihadiri Menteri Besar Terengganu serta Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, manakala Kerajaan Persekutuan diwakili Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Ketua Setiausaha Negara serta pegawai-pegawai kanan lain.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu, perbelanjaan pembangunan hasil peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri mencecah RM7 bilion pada tahun ini.

Jelasnya, antara projek pembangunan itu merangkumi tebatan banjir, bekalan air, keterjaminan makanan, keselamatan di pintu masuk pusat pelancongan negeri dan kesejahteraan sosial.

"Kita juga baru luluskan tadi projek baik pulih hospital dan klinik baru di Besut," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, sasaran yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia termasuklah di Terengganu merupakan antara hala tuju yang sama digariskan oleh pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, ia termasuk persamaan dalam usaha membawa pelabur, meningkatkan kecekapan tata kelola, pentadbiran yang berintegriti, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan sebagainya.

"Jika kita senaraikan satu persatu, sudah pasti kita akan dapati terlalu banyak persamaan hala tuju, dasar dan pendekatan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Seharusnya dalam keadaan sebegini, masa dan tumpuan kita dicurahkan pada membincangkan dan melunaskan persamaan ini, daripada melebarkan perbezaan yang ada antara negeri dan Persekutuan, apatah lagi perbezaan tersebut adalah perbezaan partisan," katanya.

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Terengganu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, serta ketua jabatan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!