Pengurus wakalah korban perlu telus

Iklan
WAKIL yang dilantik perlu berusaha mencari haiwan korban yang terbaik dalam pelaksanaan ibadah korban. Foto CANVA/Gambar kecil: DR AZMIR AZRI

Jawatankuasa masjid, surau perlu jelaskan akad sebelum laksana ibadah korban

SETIAP tahun menjelang Hari Raya Aidiladha, sebahagian besar umat Islam tidak akan melepaskan peluang untuk menjalankan ibadah korban.

Ibadah korban merujuk kepada amalan menyembelih haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing yang dilakukan semasa Hari Raya Aidiladha iaitu pada 10 Zulhijjah (selepas solat sunat Hari Raya) dan juga pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Iklan
Iklan

Pelaksanaan ibadah korban pula boleh dipilih sama ada untuk dilakukan di dalam atau di luar negara.

Biasanya ia diuruskan oleh pengelola syarikat secara komersial atau melalui masjid dan surau untuk penyertaan ibadah korban ini.

Iklan

Dari perspektif hukum syarak, tidak ada halangan bagi wakil untuk meminta bayaran atas perkhidmatan yang diberikan.

Ini menjadikan wakalah sebagai satu jenis kontrak yang melibatkan pembayaran (uqud mu'awadat), yang dikenali sebagai kontrak ijarah, yang mana perkhidmatan diberikan dengan bayaran yang ditentukan.

Iklan

Pada asasnya, kontrak wakalah dianggap sebagai kategori ‘uqud tabarru’at atau kontrak sukarela jika tanpa ada imbalan.

PIHAK masjid atau surau yang menguruskan ibadah korban perlu menjelaskan akad kepada peserta sebelum melaksanakannya. Foto CANVA

Meskipun wakalah dikira sebagai ‘uqud tabarru’at atau akad tolong-menolong, tanpa mengharapkan keuntungan atau imbalan, namun dari sudut aplikasi tetap ada beberapa perkara perlu diperhalusi untuk mengelakkan isu-isu Syariah timbul.

Antara isu-isu Syariah yang sering berlaku dalam wakalah korban seperti berikut:

1. Tidak ada akad antara penganjur dan wakalah.

Sesetengah ahli jawatankuasa atau pihak masjid hanya mengambil bayaran daripada peserta, misalnya RM750 untuk satu bahagian lembu.

2. Sighah (lafaz) akad tidak jelas.

Perlu dinyatakan akad yang berlaku antara penganjur dan peserta korban, sama ada ia wakalah mutlaqah (wakil secara umum) atau wakil secara khusus, sama ada melibatkan wakalah dengan upah dan sebagainya.

Contohnya, selain daripada mengetahui kadar harga bagi satu bahagian, individu sebelum mewakilkan urusan korban berhak dan mesti mengetahui kadar upah yang dikenakan.

Sebagaimana kajian Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Azman Mohd Noor bertajuk Isu-Isu semasa dalam Pelaksanaan Ibadah Korban Secara Wakalah, beliau ada menyebut kebanyakan ahli jawatankuasa masjid dan surau terlepas pandang mengenai perkara ini.

3. Lebihan daripada kos pengurusan perlu dikembalikan kepada pemilik.

Bagi penggunaan akad wakalah, jika ada sebarang lebihan duit daripada pengurusan korban, ia perlu dikembalikan kepada pemilik iaitu muwakkil.

Oleh itu, bagi mengelak isu Syariah mengambil lebihan duit daripada kos korban, pihak masjid atau surau boleh meminta izin untuk daripada para peserta ketika akad untuk menyalurkan duit lebihan ini ke tabung masjid.

Perkara ini boleh diselesaikan menerusi lafaz akad yang jelas.

Konsep ini dibenarkan oleh para fuqaha apabila berkata pewakil kepada wakilnya:"Juallah barang ini dengan sekian-sekian, apa yang lebih adalah untukmu.”

4. Wakil (pengurus ibadah korban) perlu berusaha mencari binatang korban yang terbaik.

Penting untuk diingatkan agar tidak terjadi ghubn iaitu kerugian akibat penipuan bagi muwakkil iaitu individu yang menjalankan ibadah korban.

Kadang-kadang, lembu yang disembelih mungkin kurus atau tidak memenuhi syarat-syarat sah untuk disembelih kerana dibeli dengan harga yang sangat rendah akibat upah yang tinggi.

Oleh itu, para wakil disarankan untuk mencari lembu yang memenuhi syarat-syarat sah untuk disembelih dan sepadan dengan bayaran yang telah dibuat oleh peserta.

AKAD yang jelas dan patuh syariah menjadi salat satu sebab ibadah korban diterima ALLAH SWT. Foto CANVA

5. Pelaksanaan akad wakalah perlu lebih telus.

Baru-baru ini timbul dalam media sosial, ada sesetengah pihak pengurusan cuba mengambil komisen daripada lembu yang dibeli untuk korban.

Jika tidak ia akan menimbulkan isu gharar (ketidakpastian) kemudian memakan harta secara batil (salah).

Semoga penjelasan ini dapat meningkatkan kesedaran para pihak pengelola ibadah korban terhadap pentingnya pelaksanaan akad-akad yang mematuhi Syariah (end to end), bukan sekadar menjalankan ibadah korban semata-mata.

Dengan itu, ibadah korban yang dilakukan akan lebih diterima sebagai amal ibadah yang murni di sisi ALLAH SWT.

***DR AZMIR AZRI AHMAD merupakan Pengamal Kewangan Islam.