Penceramah luar kembali dibenar mengajar di Perak

Iklan
Penceramah luar dibenarkan mengajar di Perak berdasarkan garis panduan baharu dikeluarkan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak. Gambar hiasan

IPOH - Penceramah luar dibenarkan untuk kembali mengajar di Perak berdasarkan garis panduan baharu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak yang dipengerusikan Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, garis panduan yang dikeluarkan pada 11 Mac itu terpakai kepada penganjur serta penceramah yang tidak memiliki Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak tetapi berhasrat menyampaikan syarahan agama di masjid dan surau yang berdaftar di negeri Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menerusi garis panduan itu Pegawai Tadbir Agama (PTA) daerah diberikan kuasa mempertimbangkan permohonan pemohon.

Harith Fadzilah

"Dalam mempertimbangkan sesuatu permohonan penganjuran dan penyampaian syarahan agama, PTA daerah hendaklah mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Pengawasan Daerah yang dianggotai Orang Besar Jajahan sebagai pengerusi, pegawai daerah atau wakil dan ketua polis daerah atau wakil.

Iklan

"Penceramah dan penganjur hendaklah mengisi borang ditetapkan yang boleh dimuat turun dari laman web Jabatan Mufti Negeri Perak dan menghantar permohonan tersebut kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang berkenaan tidak kurang daripada 14 hari sebelum tarikh syarahan agama itu berlangsung," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Harith Fadzilah berkata, Jawatankuasa Pengawasan Daerah akan memberi pandangan kepada PTA daerah berhubung permohonan penganjuran dan penyampaian syarahan agama di masjid atau surau yang berdaftar.

Iklan

Jelasnya, jika permohonan diluluskan, PTA akan mengeluarkan kebenaran kepada pemohon manakala jika permohonan tidak diluluskan, pemakluman secara bertulis akan diberikan kepada pemohon.

Sementara itu, beliau berkata, garis panduan tersebut turut meletakkan syarat larangan dalam mempertimbangkan permohonan penganjuran atau penyampaian syarahan agama melibatkan beberapa individu.

Menurutnya, mereka termasuklah individu yang telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), individu yang memegang jawatan dalam parti politik dan individu yang bertanding mewakili mana-mana parti politik dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang terakhir.

Beliau berkata, turut tidak dibenarkan ialah individu yang telah bersara sebagai Ahli Dewan Negara, ahli Parlimen atau ADUN dan didapati aktif dalam mana-mana parti politik.

Dalam perkembangan lain, Harith Fadzilah berkata, bagi pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak, mereka disyaratkan mematuhi garis panduan ditetapkan jawatankuasa pengawasan dan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dari semasa ke semasa.

Menurutnya, tauliah mengajar tersebut boleh ditarik balik jika jawatankuasa berkenaan mendapati pemegang tauliah dipertuduh atas suatu kesalahan jenayah termasuk kesalahan jenayah syariah oleh mahkamah, dikenakan tindakan akibat daripada prosiding sivil, dikenakan tindakan tatatertib di bawah mana-mana undang-undang dan diisytiharkan bankrap.

"Selain itu, mereka yang terlibat dengan mana-mana pertubuhan termasuk kumpulan atau gerakan yang menyalahi undang-undang atau yang memudaratkan keselamatan negara atau bersalahan dengan fatwa dan berkelakuan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam turut boleh menyebabkan tauliah ditarik balik.

"Tauliah juga boleh ditarik balik jika pemegang tauliah membuat apa-apa pernyataan awam sama ada secara lisan atau bertulis yang boleh ditafsirkan dengan semunasabahnya sebagai menghina agama Islam atau mencemarkan MAIPk, melanggar arahan MAIPk, mufti atau Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam," katanya.

Pada 23 Ogos tahun lalu, JAIPk mengumumkan penangguhan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama termasuk dari luar negara berkuat kuasa serta-merta.

Penangguhan dilakukan membabitkan semua masjid, surau diri Jumaat dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.

Ketetapan tersebut bagaimanapun dikecualikan ke atas individu sebagaimana di Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

Peraturan 23 (1) antara lain menyebut, peraturan-peraturan tersebut tidak terpakai bagi anggota Majlis, mufti mana-mana negeri di Malaysia, pegawai agama, guru agama yang dilantik kerajaan dan mana-mana orang yang pada pendapat Majlis mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!