Tuntutan palsu: Bekas pegawai Ahli Parlimen Merbok didenda RM45,000

Iklan
Mohd Khalid (dua dari kanan) sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis.

ALOR SETAR - Seorang bekas pegawai tugas khas Ahli Parlimen Merbok didenda RM45,000 selepas mengaku membuat tiga tuntutan palsu bagi projek baik pulih rumah pada 2020.

Tertuduh, Mohd Khalid Abdul Hamid, 46, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Iklan
Iklan

Hakim mengarahkan tertuduh dipenjara selama lima bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Khalid secara curang menggunakan dokumen palsu atas nama syarikat Zaifol Azri Abu Seman bagi membuat tiga tuntutan berjumlah RM29,500 bagi kerja baik pulih rumah penduduk yang rosak akibat bencana di kawasan Parlimen Merbok.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok pada 20 Januari 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Semua kes berkenaan dikendalikan pegawai pendakwa raya dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Zahariman Keman, Muhamad Taufik Awaludin dan Mohd Yasri Yahya.

Dalam hujah semua pegawai pendakwa raya, mereka memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh agar menjadi pengajaran kepada orang lain bahawa setiap amanah kepada masyarakat awam perlu dipelihara dengan baik.

Tertuduh yang tidak diwakili peguambela dalam rayuan pula memohon kepada mahkamah agar dia diberikan hukuman ringan selain dikecualikan hukuman mahkamah kerana telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan SPRM.

Dia mengakui insaf dengan kesalahan berkenaan dan kini sedang menyara ibunya yang uzur berusia 74 tahun dan tiga anak saudara yang kematian bapa dengan pendapatan RM2,500 bekerja sebagai penjaga stor.

Mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan berkenaan.

Tertuduh kemudiannya membayarkan jumlah denda yang dikenakan terhadapnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!