Terserempak 'abang besar' leka makan pisang dalam kebun

Iklan
Zu Zazuwan (kanan) bersama Zakaria menunjukkan keadaan pokok pisang yang dirosakkan oleh gajah liar di Kampung Pak Sik, Hulu Besut.

BESUT - [DIKEMAS KINI] Seorang pekebun terpaksa melupakan hasrat untuk mengambil air manisan nira kelapa setelah terserempak dengan 'abang besar' asyik memakan pisang di dalam kebunnya di Kampung Pak Sik, dekat Hulu Besut, di sini pada Ahad lalu.

Menurut Zu Zazuwan Talib, 42, ketika kejadian haiwan tersebut berada kira-kira 10 hingga 20 meter dari jaraknya menyebabkan dia bergegas pulang ke rumah.

Iklan
Iklan

"Malam Ahad lepas saya ke kebun pisang untuk mengambil nira daripada pokok kelapa yang ditanam di situ, secara tak sengaja saya terserempak dengan seekor gajah yang sedang makan pisang di kebun.

"Ketika itu jarak antara saya dan haiwan itu dianggarkan lebih kurang 10 hingga 20 meter sahaja. Disebabkan terkejut dan ketakutan, saya membatalkan niat untuk mengambil nira dan terus pulang ke rumah," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Iklan

Zu Zazuwan memberitahu, keesokan harinya dia mendapati kira-kira 80 pokok pisang dan 30 pokok sawit yang ditanam di kawasan seluas 1.6 hektar dirosakkan haiwan liar tersebut.

"Saya kembali semula ke kebun pada sebelah pagi dan mendapati gajah itu masih berkeliaran di kawasan tersebut dan banyak pokok yang ditanam musnah.

Iklan

"Saya anggarkan kerugian dialami lebih RM3,000," katanya.

Jelasnya, kehadiran gajah yang berkeliaran di kawasan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung terbabit.

Sementara itu, Zakaria Ismail, 60, berkata, penduduk kampung telah melaporkan kehadiran haiwan tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

"Kita telah panjangkan aduan kepada pihak Perhilitan dan mereka telah mengambil tindakan segera untuk mengesan dan menangkap gajah liar itu.

"Kita harap haiwan itu segera ditangkap sekali gus memastikan penduduk tidak lagi berada dalam ketakutan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya berjaya menangkap seekor gajah liar jantan yang berkeliaran di kampung berkenaan pada petang Rabu selepas menerima aduan berhubung kehadiran haiwan liar itu, Isnin lalu.

Menurutnya, pihaknya telah membuat pemantauan selama beberapa hari sebelum berjaya menangkap haiwan dianggarkan seberat dua tan itu.

"Gajah berusia 15 hingga 20 tahun itu telah ditangkap kira-kira jam 3 petang di kawasan berhampiran kebun kelapa sawit dan pisang tidak jauh dari penempatan penduduk kampung.

"Proses menangkap haiwan ini melibatkan seramai tujuh anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) Terengganu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, gajah tersebut akan dipindahkan kembali ke habitat semula jadinya dalam masa terdekat.

"Haiwan ini stabil dan sihat dan akan lepaskan ke habitatnya pada Sabtu ini," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!