Selangor FC tarik diri perlawanan Piala Sumbangsih

Iklan
Kenyataan media Selangor FC

[DIKEMAS KINI] NAIB juara Liga Super 2023, Selangor FC mengumumkan untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024/25 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Selangor FC berkata, pengurusan kelab telah mengambil maklum keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk tetap meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei ini.

Iklan
Iklan

"Keputusan setelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam.

"Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sekarang isu berkaitan keselamatan pasukan," kata kelab dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

MFL, sebelum ini mengesahkan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25 yang bermula dengan aksi Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah melibatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Selangor FC, Jumaat ini, berlangsung mengikut jadual selepas mendapat jaminan keselamatan pihak polis.

Keputusan itu menyaksikan MFL terpaksa menolak permohonan Selangor untuk menangguhkan atas faktor kebimbangan mengenai tahap keselamatan The Red Giants.

Iklan

"Jaminan keselamatan kepada pemain dan penyokong bagi aksi Piala Sumbangsih, JDT dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini telah diberikan Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar yang mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.

"Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan hari ini (Rabu) turut menyatakan bahawa persediaan keselamatan pegawai dan anggota polis akan dipertingkatkan.

"Justeru dengan persiapan keselamatan yang dilakukan pihak polis, MFL membuat keputusan bahawa semua perlawanan Liga Malaysia yang akan berlangsung minggu ini termasuk Piala Sumbangsih akan jalankan mengikut jadual,” kata pentadbir liga teratas negara berkenaan pada Rabu.

Pada Selasa, Selangor menghantar permohonan secara rasmi kepada MFL supaya mempertimbangkan cadangan menunda tarikh perlawanan Piala Sumbangsih melibatkan The Red Giants dan JDT, Jumaat ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, permohonan untuk menunda perlawanan itu dibuat atas alasan faktor keselamatan.

Dalam perkembangan sama MFL juga simpati dan kesal dengan insiden yang menimpa tiga pemain Liga-M, Akhyar Rashid (Terengganu FC), Faisal Halim (Selangor FC) dan Safiq Rahim (Johor Darul Ta’zim).

"MFL mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan ke atas mana-mana pemain dan berharap kes ini dapat disiasat secara terperinci oleh pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.

"MFL tidak pernah berkompromi dalam memastikan keselamatan pemain serta penyokong yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia menerusi kerjasama pasukan dan pihak berkuasa tempatan.

"Justeru pihak MFL telah mengadakan mesyuarat bersama semua ketua pegawai keselamatan kelab Liga Malaysia hari ini (Rabu) bagi memastikan koordinasi keselamatan bagi setiap perlawanan Liga Malaysia musim ini dipertingkatkan,” katanya.