41 peserta tamat kursus hoki berprestasi tinggi

Iklan
Seramai 41 peserta berjaya menamatkan kursus berprestasi tinggi anjuran FIH dan AHF di Ipoh.

SERAMAI 41 peserta dari 15 negara berjaya berjaya menamatkan kursus berprestasi tinggi anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF) dengan kerjasama Akademi Hoki Raja Ashman Shah di sini.

Pengerusi Akademi AHF-Raja Ashman Shah, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, empat kursus dijalankan iaitu FIH High Performance, Level 3 Coach, Advanced Umpire dan Hockey Educators selepas lima tahun direhatkan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, program tahunan itu dijalankan sempena penganjuran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 serta mendapat sokongan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

"Seramai 13 peserta dari United Kingdom (UK), Afrika Selatan, Ireland, Belanda, Hong Kong, Australia, Barbados, Kenya dan tuan rumah Malaysia berjaya menamatkan kursus jurulatih berprestasi tinggi.

Iklan

"Bagi kursus kejurulatihan tahap tiga, seramai 19 peserta berjaya memiliki sijil melibatkan Jepun, Indonesia, India, Hong Kong, Singapura, UK, Oman, Pakistan dan Afrika Selatan.

"Selain itu, tujuh peserta berjaya tamatkan kursus Educator Course manakala dua peserta dari Oman pula dalam kategori Advanced Umpire," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sijil Kursus FIH/AHF/Akademi Hoki Raja Ashman Shah di sini pada Rabu.

Zainol Fadzi (kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada Mike Joyce pada majlis penyampaian sijil Kursus FIH/AHF/Akademi Hoki Raja Ashman Shah di Ipoh.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pendidikan dan Pembangunan FIH, Mike Joyce; Pengarah Kanan AHF, Ghulam Gous dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Akademi Hoki AHF-Raja Ashman Shah, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Pada majlis itu, sijil penghargaan turut diberikan kepada enam pendidik dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson yang menjayakan kursus tersebut.

Sementara itu, penolong jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Siti Rahmah Othman berkata, kursus kejurulatihan tahap tiga yang diikutinya itu memberi pengalaman baharu bagi membantu kecemerlangan sukan hoki negara.

"Sepanjang lima hari ini ternyata kaedah yang diberikan pendidik pakar dalam kursus ini dapat membantu kecemerlangan pasukan hoki negara.

"Saya berasa bertuah menjadi wakil Malaysia mengikuti kursus berprestij ini dan ia dapat membantu untuk melahirkan pemain yang berkualiti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!