MFL tolak permohonan Selangor, Piala Sumbangsih ikut jadual

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Rabu.

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25 yang bermula dengan aksi Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah melibatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Selangor FC, Jumaat ini, berlangsung mengikut jadual selepas mendapat jaminan keselamatan pihak polis.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ketika memaklumkan perkembangan terbaharu itu juga mengesahkan terpaksa menolak permohonan Selangor untuk menangguhkan perlawanan tersebut atas faktor keselamatan The Red Giants.

Iklan
Iklan

"Jaminan keselamatan kepada pemain dan penyokong bagi aksi Piala Sumbangsih, JDT dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini telah diberikan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar yang mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.

"Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan hari ini turut menyatakan bahawa persediaan keselamatan pegawai dan anggota polis akan dipertingkatkan.

Iklan

"Justeru, dengan persiapan keselamatan yang dilakukan pihak polis, MFL membuat keputusan bahawa semua perlawanan Liga Malaysia yang akan berlangsung minggu ini termasuk Piala Sumbangsih akan dijalankan mengikut jadual,” kata MFL pada Rabu.

Pada Selasa, Selangor menghantar permohonan secara rasmi kepada MFL supaya mempertimbangkan cadangan menunda tarikh perlawanan Piala Sumbangsih, Jumaat ini.

Iklan

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, permohonan untuk menunda perlawanan itu dibuat atas faktor keselamatan.

Dalam perkembangan sama, MFL juga bersimpati dan kesal dengan insiden yang menimpa tiga pemain Liga-M, Akhyar Rashid (Terengganu FC), Faisal Halim (Selangor FC) dan Safiq Rahim (Johor Darul Ta’zim).

"MFL mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan ke atas mana-mana pemain dan berharap kes ini dapat disiasat secara terperinci oleh pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.

"MFL tidak pernah berkompromi dalam memastikan keselamatan pemain serta penyokong yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia menerusi kerjasama pasukan dan pihak berkuasa tempatan.

"Justeru, pihak MFL telah mengadakan mesyuarat bersama semua ketua pegawai keselamatan kelab Liga Malaysia hari ini bagi memastikan koordinasi keselamatan bagi setiap perlawanan Liga Malaysia musim ini dipertingkatkan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!