14 lelaki tak mengaku terlibat rusuhan bersenjata

Iklan
Kesemua tertuduh tiba di mahkamah menaiki trak polis pada Selasa.

BUTTERWORTH - Sekumpulan 14 lelaki termasuk tiga remaja bawah umur mengaku tidak bersalah atas kesalahan merusuh dengan senjata sehingga mencederakan seorang lelaki pada Jumaat lepas.

Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 15 hingga 51 tahun membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa secara bersama telah mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun dengan menggunakan parang dan kayu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka masing-masing secara berasingan turut berdepan pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang di tempat awam tanpa kebenaran sah.

Iklan

Semua kesalahan didakwa di lakukan di hadapan sebuah premis di Lorong Bunga Raya 2, Taman Bunga Raya dalam daerah Seberang Perai Utara, kira -kira jam 7.15 petang pada 3 Mei lepas.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357)

Iklan

Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat sekiranya didapati bersalah.

Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri, Mohd Nordin Ismail, Lee Jun Keong dan Mohd Azhar Hamzah manakala hanya enam tertuduh diwakili peguam Rafael Abdullah.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM20,000 hingga RM28,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, syarat tambahan turut dikenakan iaitu semua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 dan 15 haribulan setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dengan apa cara sekalipun hingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 10 Jun depan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula mereka turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan menganggotai 'Geng 24 ' iaitu sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!