Kes kebakaran terbuka, hutan di Kelantan naik mendadak

Iklan
Pihak bomba yang bertungkus lumus memadam kebakaran.

KOTA BHARU - Kelantan mencatat peningkatan mendadak kejadian kebakaran hutan dan terbuka berjumlah 1,379 kes pada tahun ini setakat 6 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, jumlah itu lebih tinggi berbanding keseluruhan 814 kes tahun lalu dan 215 kes tahun 2022.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebahagian besar kes berlaku berpunca akibat cuaca panas selain kecuaian manusia yang melakukan aktiviti pembakaran tanpa pemantauan.

Kebakaran di Pasir Puteh ketika keadaan cuaca panas.

"Kes melibatkan kebakaran belukar atau lalang merekodkan kes tertinggi iaitu 1,014, diikuti kebakaran sampah (128 kes) dan hutan (104 kes).

Iklan

"Selainnya, hutan gambut (100) dan kebun atau ladang (33),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 JBPM Kelantan, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, terbaharu pihaknya ketika ini turut bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran tanah gambut di kawasan kebun sawit dan getah di Kampung Kual Kecil, Beris Lalang, Bachok (sejak Februari lalu) dan Kampung Kulim, Pasir Puteh yang bermula sekitar April.

Zainal (dua dari kanan) meraikan tetamu yang hadir di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Rabu.

Iklan

Zainal turut mengakui kesukaran bomba melakukan usaha pemadaman kerana cuaca panas dan kekurangan bekalan air namun perkara itu diatasi dengan sumber dari telaga tiub dan tambahan pam di lokasi terlibat kebakaran.

"Kebakaran tanah gambut di Bachok melibatkan kawasan seluas 20 hektar dan masih berbaki lima hektar yang belum padam manakala di

Pasir Puteh terbakar 50 hektar dengan baki belum padam seluas lima hingga 10 hektar.

"Pihak bomba sudah pun mendapatkan bantuan sumber air di telaga tiub yang ada di daerah-daerah dan menambah 10 unit pam untuk membantu kawasan-kawasan terlibat kebakaran,” katanya.

Tambah beliau, usaha memadam kebakaran terbabit adalah terkawal dan dijangka selesai dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 39 lokasi panas kebakaran dikenal pasti melibatkan 12 lokasi di Pasir Puteh, lapan di Bachok, masing-masing enam di Pasir Mas, Kota Bharu dan Gua Musang serta satu di Tumpat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!