Tiga rakan terlepas tali gantung

Iklan
Mohd. Fadzli (dua,kiri) memeluk dua rakannya iaitu Muhammad Abdul Rahman dan Yusri selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu atas pertuduhan mengedar dadah.

MELAKA - Tiga rakan terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu, melepaskan dan membebaskan mereka atas pertuduhan mengedar dadah.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh Muhammad Abdul Rahman, 37; Mohd. Fadzli Abd. Razak, 44, dan Yusri Awang, 38, selepas pihak pendakwaan didapati gagal menimbulkan prima facie pada keputusan di akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Mohd. Radzi dalam alasan penghakiman, berkata, tertuduh pertama dan kedua iaitu Muhammad dan Mohd. Fazli ditahan di luar kereta ketika enjin masih dihidupkan manakala tertuduh ketiga iaitu Yusri ditahan polis selepas selesai membayar saman di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

Kata beliau, malah tertuduh ketiga berjalan menuju ke kereta walaupun terdapat ramai orang di kawasan itu sekali gus menunjukkan dia tidak mengetahui terdapat dadah di dalam kereta tersebut.

Iklan

"Keterangan saksi pendakwaan keenam juga lemah apabila gagal menyiasat secara menyeluruh kemungkinan kereta tersebut pernah diakses oleh orang lain selain kesemua mereka ditahan di luar kereta yang diparkir dalam keadaan tidak berkunci.

"Pendakwaan juga gagal membuktikan dadah yang terdapat di laci papan pemuka adalah milik ketiga-tiga tertuduh kerana tiada kesan asid deoksiribonukleik (DNA) dan cap jari pada dadah berkenaan.

Iklan

"Oleh itu mahkamah melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh dari pertuduhan mengedar dadah," katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama telah mengedar dadah berbahaya iaitu methampetamine seberat 162.35 gram.

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kenderaan hadapan pejabat JPJ Bukit Katil di sini, kira-kira jam 1.55 tengah hari, pada 1 Februari 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan seksyen terbabit, kesemua tertuduh boleh berdepan hukuman gantung sampai mati.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abdul Rahman Sidik manakala tertuduh diwakili peguam Ramzani Idris, M. Haresh, Asmawi Ismail dan Andrew Lourdes.

Sepanjang prosiding berlangsung, seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil bagi memberi keterangan.

Pada prosiding terbabit, ahli keluarga tertuduh yang hadir dilihat sebak dan mengesat air mata sejurus keputusan tersebut dibacakan hakim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!