10 'ulat' di KLIA terima padah, kenderaan mewah disita

Iklan
Aedy menunjukkan sebuah kereta mewah jenis Toyota Alphard yang disita dalam Op Khas Ulat dan e-Hailing di KLIA1 dan KLIA2.

SEPANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 10 buah kenderaan pelbagai jenis termasuk kereta mewah seperti Toyota Alphard yang digunakan oleh 'ulat' untuk mengambil penumpang secara tidak sah.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan itu dilakukan semasa Op Khas Ulat dan e-Hailing selama tiga hari di dua terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga menahan 10 individu berusia antara 20-an hingga 60-an dalam operasi khas tersebut selama seminggu yang berakhir Ahad.

Aedy Fadly Ramli.

Kata beliau, kumpulan 'ulat' menawarkan perkhidmatan menggunakan kenderaan mewah untuk menarik pelancong asing menggunakan khidmat mereka.

Iklan

"Ulat-ulat ini akan menyasarkan pelancong asing yang tidak pernah datang ke Malaysia dengan kononnya menawarkan harga murah bagi perkhidmatan disediakan.

"Namun selepas pelancong terbabit sudah berada dalam kenderaan mereka, ulat-ulat ini akan mengenakan harga lain yang jauh lebih mahal atas pelbagai alasan," katanya ketika ditemui pada sidang media Op Khas Ulat dan Kenderaan e-Hailing di KLIA1.

Iklan

Turut hadir Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Bahagian Penguatkuasa JPJ, Dr Azmi Awang dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

Aedy berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada orang ramai berhubung kegiatan ulat di KLIA1 dan KLIA2 sebelum ini.

Ekoran itu menurutnya, JPJ menjalankan Op Khas Ulat secara konsisten bagi memburu kumpulan tersebut.

Katanya, bagi tempoh 2022 sehingga Ahad, sebanyak 312 'ulat' telah ditahan di kedua-dua terminal tersebut.

Aedy (kanan) melihat cukai jalan sebuah teksi yang ditahan semasa Op Khas Ulat dan e-Hailing di KLIA1 dan KLIA2.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 selepas didapati memujuk atau mendesak bagi maksud menawarkan perkhidmatan berkaitan tanpa kebenaran," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan Op Khas e-Hailing sepanjang tempoh itu dengan 2,168 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Dalam operasi itu, jelasnya, sebanyak 23,567 kenderaan diperiksa dengan 1,889 daripadanya diambil tindakan.

Menurut beliau, JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu tanpa kuasa yang sah menjalankan aktiviti mengambil penumpang.

"JPJ juga akan mengambil tindakan tegas kepada syarikat, pemilik atau pemandu e-hailing yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.

"Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan akauntabiliti pematuhan peraturan ke arah ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!