Penolong Pegawai Veterinar didakwa terima suapan

Iklan
Tertuduh (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Rabu.

KUALA TERENGGANU - Seorang Penolong Pegawai Veterinar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas empat pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan untuk dirinya sendiri melalui perolehan kerja pembaikan kenderaan jabatan.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Hisham Daud, 46, yang bertugas di Besut mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa meluluskan dokumen indent kerja/pesanan tempatan bagi kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan kepada Syarikat Serangkai Automobiles Sdn Bhd dengan jumlah keseluruhan bernilai RM8,578.69 di mana perkhidmatan tersebut tidak dilaksanakan oleh syarikat terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara Mac 2019 hingga Jun 2020.

Iklan

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Iklan

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 oleh seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh untuk tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya SPRM, Mariah Omar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 Jun depan bagi sebutan semula kes tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!