Orang ramai mula tempah lembu korban

Iklan
Mohamad Alias memberi makan kepada salah seekor lembu ternakannya di ladang mereka di Batu 13 Jalan Sintok di sini pada Selasa.

KUBANG PASU - Walaupun masih berada dalam bulan Syawal namun orang ramai didapati telah membuat tempahan lembu untuk ibadah korban pada Aidiladha Jun depan.

Pengurus Fatimah MZ Agro Farm Sdn Bhd, Mohamad Alias Zainol Abidin berkata, setakat ini 50 peratus daripada stok lembu mereka telah ditempah sejak dua minggu lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, secara keseluruhan mereka menyediakan 200 ekor lembu pelbagai jenis dan berat sebagai pilihan buat orang ramai yang ingin melaksanakan ibadah korban pada tahun ini.

"Sejak dua minggu lalu, kami sudah mula mendapat tempahan korban dan setakat ini kira-kira 100 ekor sudah ditempah oleh pelbagai pihak termasuk individu dan agensi sekitar utara," katanya ketika ditemui di ladang ternakan di Batu 13, Jalan Sintok di sini pada Selasa.

Iklan
Lembu untuk ibadah korban ditawarkan pada harga bermula RM5,300.

Menurutnya, mereka turut menawarkan bayaran secara ansuran untuk tidak membebankan pelanggan.

"Kita tahu ada yang nak sangat buat ibadah korban tapi tak mampu nak bayar sekaligus, jadi kita benarkan bayaran secara ansuran sehingga tiga hari sebelum Aidiladha," katanya.

Iklan

Mohamad Alias berkata, semua lembu yang diternak mereka dijaga rapi termasuk dimandikan setiap hari dan diberi suntikan vaksin.

"Pihak veterinar juga turut melakukan pemantauan untuk memastikan ternakan kita sentiasa sihat dan bebas penyakit," katanya.

Ujar bapa kepada dua cahaya mata ini, mereka sangat menitikberatkan diet ternakan untuk memastikan semua haiwan ternakan sihat.

"Lembu di ladang kami diberi makan napier, batang jagung dan dedak untuk meningkatkan tumbesaran dan kualiti haiwan ternakan.

"Ini kerana kita sedar dalam melaksanakan ibadah korban, orang ramai akan memilih haiwan ternakan yang terbaik dan diyakini sihat dan halal," katanya.

Perkhidmatan menyembelih dan melapah yang dikendalikan oleh petugas bertauliah dan berpengalaman turut disediakan.

Jelasnya, terdapat dua jenis baka lembu yang ditawarkan di ladang mereka iaitu jenis KK dan Brahman dengan harga bermula RM5,300.

"Baka Brahman walaupun agak mahal harganya namun tetap mendapat permintaan kerana ada juga yang gemar memilih lembu besar untuk disedekahkan kepada masjid atau surau,"katanya.

Menurutnya, jualan tompok (bahagian) turut ditawarkan dengan harga bermula antara RM750 hingga RM850.

"Selain itu, kami juga menyediakan perkhidmatan menyembelih dan melapah yang dikendalikan oleh petugas bertauliah dan berpengalaman.

"Jadi kepada pihak yang mahu kami uruskan semuanya dari menyembelih,melapah sehingga ke urusan membungkus kami hanya mengenakan bayaran RM200 bagi seekor lembu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!