59 projek RKK Port Dickson - Aminuddin

Iklan
Aminuddin (berdiri, kanan) ketika menjawab soalan Ken Hwa.

SEREMBAN - Sebanyak 59 projek dicadangkan untuk dilaksanakan bagi memacu pembangunan pesisiran pantai Port Dickson sekali gus menjadi destinasi pelancongan antarabangsa.

Menteri Besar Negeri Sembilan (PH- Sikamat), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia merangkumi 31 projek strategik atau berimpak tinggi, 12 projek utama dan 16 projek sokongan yang akan dilaksanakan mengikut fasa melalui Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pesisiran Pantai Port Dickson.

Iklan
Iklan

"Ia membabitkan Fasa 1 (tahun 2020-2023), Fasa 2 (tahun 2023-2026) dan Fasa 3 (tahun 2026-2030).

"RKK Pesisiran Pantai Port Dickson yang disediakan untuk tindakan pelaksanaan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melibatkan projek-projek berkaitan cadangan jalan, laluan kereta api dan landskap seperti mana saranan dan kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri Khas Negeri Sembilan pada 4 Mei 2021," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Pertama Penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ke-15 di sini pada Selasa.

Ia bagi menjawab soalan ADUN Lukut (PH), Choo Ken Hwa berhubung status perlaksanaan RKK Persisiran Pantai Port Dickson sebagai destinasi pelancongan antarabangsa setelah dilancarkan pada tahun 2020.

Iklan

Aminuddin berkata, RKK Pesisiran Pantai Port Dickson merupakan pelan perancangan pembangunan terperinci telah menetapkan matlamat pembangunan untuk 'Memperkukuhkan peranan Port Dickson sebagai Bandar Pelancongan Pesisiran Pantai Bertaraf Antarabangsa'.

"Salah satu projek yang telah dirangka pelaksanaannya oleh Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Sembilan (PLANMalaysia Negeri Sembilan) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) adalah penyediaan Pelan Tindakan Khas (Bandar), Lady Dickson Park, Port Dickson.

"Pembangunan projek ini yang berkonsepkan taman bandaran atau TamanLinear (Linear Park) akan melibatkan komponen pembangunan antaranya Zon A: kawasan Arca, Railway Gate dan 3D Signage; Zon B: Historical Interactive Zone (Rail Pump Car and Train Signal Pole) dan Zon C: Taman Laluan Kereta Api berlandskap dan laluan pejalan kaki.

"Agensi-agensi lain yang berkaitan juga telah sedia maklum berkaitan cadangan projek di dalam RKK Pesisiran Pantai Port Dickson dan akan mempertimbangkan pelaksanaannya mengikut keutamaan projek tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya juga bercadang menghidupkan kembali landasan kereta api dari Seremban ke Port Dickson bagi membantu industri pengangkutan dan pelabuhan logistik di Negeri Sembilan.

Beliau menjawab soalan tambahan Ken Hwa yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri mahu hidupkan landasan kereta api di laluan berkenaan sekali gus beri imej baharu kepada negeri ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!