Harus bunuh semut yang ganggu kehidupan, sakiti manusia

Iklan
MASIH ada segelintir orang beranggapan, semut haram dibunuh. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

HATI mendongkol geram tatkala melihat semut merayap di dalam rumah. Bukan sahaja balang gula yang menjadi sasaran, tetapi hampir semua makanan turut ‘diusiknya’.

Bukannya hidangan itu tidak bertutup, tetapi adakalanya serangga kecil tersebut boleh juga menyelit masuk entah dari mana. Rasa berbulu mata dibuatnya.

Iklan
Iklan

Hendak dibunuh terasa serba salah pula. Ini kerana ada larangan yang jelas dalam hadis bahawa tidak boleh membunuh semut.

Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa: "Rasulullah SAW melarang membunuh empat jenis binatang iaitu semut, lebah, burung belatuk (hudhud) dan burung surad (shrike).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Iklan

Benarkah begitu? Adakah ia termasuk juga dengan semut yang berlegar-legar di dalam rumah kita?

Memperbetulkan salah faham itu, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, apa yang dimaksudkan dalam hadis berkenaan ialah semut bersaiz besar dan panjang berdasar, menurut Mazhab Syafie.

Iklan

DR SYED SHAHRIDZAN

"Dalam bahasa Arab, ia dikenali sebagai Naml Sulaimani yang biasanya wujud di kawasan runtuhan. Ini kerana kebanyakannya bersifat tidak menyakiti manusia,” katanya sebagaimana dijelaskan menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

MENURUT Mazhab Syafie, apa yang dimaksudkan dalam hadis berkaitan larangan membunuh semut ialah semut bersaiz besar dan panjang berdasar. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

"Bahkan, ulama Syafi’iyyah juga berpandangan, harus membunuh semut-semut bersaiz besar jika ia menyakiti dan membawa kemudaratan seperti kerengga.

"Bagaimanapun, andai semut besar tadi tidak mengganggu, maka haram ia dibunuh,” ungkapnya.

Mudah kata, Syed Shahridzan menjelaskan, apa sahaja jenis semut atau saiznya, jika ia mengganggu dan menyakiti manusia, maka harus untuk dibunuh serta tidak termasuk dalam larangan Nabi Muhammad SAW.

Seperkara lagi, beliau mengingatkan agar kita tidak membunuh semut dengan cara membakar.

"Para ulama mengharamkan pembunuhan semut dengan cara membakar melainkan tiada cara lain (darurat) untuk membunuh kumpulan semut yang membawa ancaman.

APA sahaja jenis semut atau saiznya, jika ia mengganggu dan menyakiti manusia, maka harus untuk dibunuh serta tidak termasuk dalam larangan Nabi Muhammad SAW. -Foto: Canva

"Sebaiknya, elakkanlah membunuh semut-semut kecil yang tidak mengganggu dan mengancam kehidupan manusia,” tegasnya.